Pengendali platform media sosial diberi tempoh perkemas sistem moderasi kandungan

SEMUA pengendali platform media sosial termasuk TikTok diberi tempoh memperkemas sistem moderasi kandungan susulan kebimbangan terhadap kebergantungan kepada kecerdasan buatan (AI) dalam mengesan dan menangani kandungan sensitif seperti buli siber.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keupayaan memahami konteks dan nuansa sesuatu bahasa merupakan antara perkara yang tidak boleh dipandang ringan dalam proses moderasi kandungan.

Beliau berkata penggunaan AI tanpa keupayaan memahami konteks bahasa tertentu boleh menyebabkan kandungan berunsur jenayah dan buli siber terlepas daripada pengesanan.

“Kalau mereka (pengendali platform) menggunakan AI untuk melakukan moderasi atau kawal selia kandungan tetapi tidak mempunyai keupayaan untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam sesuatu bahasa… ini boleh membolehkan jenayah ataupun kejadian seperti buli siber berleluasa.

“Itu yang sedang berlaku termasuk dalam komuniti India yang berbahasa Tamil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Fahmi berkata, beliau sebelum ini telah menyampaikan pandangan berhubung perkara itu kepada pihak TikTok, terutama mengenai kepentingan mengekalkan moderator manusia dalam proses moderasi kandungan.

“Isu bahasa tak boleh diserahkan bulat-bulat kepada AI. AI tidak mampu memahami sepenuhnya nuansa penggunaan ayat-ayat tertentu, terutama kandungan yang memangsakan atau membuli orang lain.

“Malangnya, pihak TikTok telah mengurangkan jumlah moderator manusia dan kini lebih memberi fokus kepada penggunaan AI,” katanya.

Beliau berkata platform media sosial perlu mengambil kira keperluan yang digariskan menerusi Kod Amalan Keselamatan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Mitigasi Risiko (RMC) dalam memperkukuh sistem moderasi masing-masing.

Fahmi menegaskan, usaha memastikan internet lebih selamat khususnya untuk kanak-kanak tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan, sekolah dan pengendali platform.

Sehubungan itu, kata beliau, Kempen Internet Selamat (KIS) turut memberi tumpuan kepada PIBG bagi memastikan mesej keselamatan digital dapat disampaikan secara langsung kepada ibu bapa.

Beliau berkata ibu bapa perlu memahami ancaman semasa termasuk penipuan dalam talian, perjudian dalam talian dan buli siber, selain mengetahui modus operandi pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak.

‘’Ibu bapa turut disaran mengaktifkan fungsi kawalan ibu bapa (parental control) pada peranti dan aplikasi yang digunakan anak masing-masing. Pihak TikTok akan diberikan sedikit masa untuk mengambil langkah penambahbaikan berhubung perkara itu,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img