SEORANG penunggang motosikal maut selepas terbabas ke dalam sungai di kawasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran Jalan Gombak Lama, berdekatan Perkampungan Orang Asli Batu 16 di Gombak awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 1.35 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal Yamaha LC135 ditunggang lelaki berusia 30-an yang dipercayai terbabas.
“Mangsa ditemukan dalam sungai sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi membawa naik mangsa selesai pada jam 2.10 pagi sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang tamat sepenuhnya pada jam 3.08 pagi membabitkan tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Selayang,” katanya.






