UMNO Perlis sedia bertanding solo di semua 15 DUN, tiga Parlimen

UMNO Perlis bersiap sedia menggerakkan jentera menghadapi pilihan raya akan datang secara solo di kesemua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, setakat ini tiada perbincangan rasmi dijalankan bersama mana-mana parti politik termasuk Perikatan Nasional (PN) di peringkat negeri.

Katanya, memandangkan UMNO tidak menang sebarang kerusi di Perlis pada pilihan raya lalu, fokus utama parti ketika ini adalah bekerja di setiap kawasan.

“Dalam konteks Perlis, kita tidak ada apa-apa perbincangan dengan mana-mana parti, termasuklah dengan PN. Apa yang dihasratkan ahli parti dan gerak kerja yang telah dibuat adalah persediaan untuk kita terus bekerja di 15 DUN dan tiga Parlimen.

“Ini adalah hala tuju yang sangat jelas untuk UMNO Perlis. Kita tidak ada apa-apa perbincangan untuk kita mengadakan pakatan bagi pilihan raya yang akan datang. Itu pendirian UMNO Perlis buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Arau di Dewan Sivik Arau di Arau malam tadi, lapor Buletin TV3.

Rozabil bagaimanapun mengesahkan ada pihak cuba menghubungi beliau untuk mengadakan pertemuan, namun berpandangan ia masih terlalu awal kerana keutamaan kini adalah memastikan jentera parti bekerja.

“Selalunya perbincangan kerjasama ini dimulakan di peringkat atasan. Bagi kita di Perlis, memang ada pihak yang cuba menghubungi untuk berjumpa tetapi bagi saya terlalu awal. Pendirian kita buat masa ini adalah mahu bergerak sendiri.

“Bukan kita mahu mendabik dada kononnya boleh menang solo, tetapi gerak kerja disusun seolah-olah kita akan bertanding secara solo. Selebihnya, kita serahkan kepada keputusan pucuk pimpinan,” katanya.

Dalam pada itu, Rozabil menaruh keyakinan bahawa kekalahan lalu bakal menjadi yang terakhir buat UMNO di Perlis, berdasarkan reaksi dan trend sokongan rakyat pada ketika ini.

Beliau mendakwa, pentadbiran kerajaan PN di Perlis pada masa ini gagal membawa pembangunan ketara, terutamanya dari sudut tawaran ekonomi dan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

“Rakyat Perlis telah memberi peluang kepada PN untuk mentadbir, tetapi sehingga saat ini tidak nampak apa-apa perkembangan pembangunan, terutamanya peluang pekerjaan dan ekonomi kepada anak muda.

“Kita akui pentadbiran BN terdahulu ada kekurangan, tetapi berbanding pentadbiran sekarang, jauh berbeza. Sebab itu jentera termasuk Wanita menerusi Jalinan Rakyat (JR) di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah digerakkan seolah-olah pilihan raya akan berlaku pada bila-bila masa,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img