AKIBAT tidak puas hati kerana ditegur berhubung tandas rumah sewa yang kotor, seorang lelaki warga Bangladesh bertindak menetak rakan senegaranya dengan sebilah pisau di sebuah restoran di Taman Cheras Baru, Kuala Lumpur semalam.
Kejadian berlaku ketika suspek dan mangsa yang sudah tinggal bersama sejak lima tahun lalu itu bertengkar selepas mangsa sering menegur suspek kerana tandas berkenaan selalu kotor selepas digunakan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, susulan kejadian itu, polis mengesan dan menahan suspek bagi membantu siasatan kes mendatangkan cedera menggunakan senjata tajam dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.
Beliau berkata, mangsa ialah lelaki warga Bangladesh berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu stor.
“Mangsa mengalami kecederaan akibat tetakan dan kini dirawat di Zon Kuning, Hospital Ampang dalam keadaan stabil.
“Bertindak atas maklumat, pada jam 12 tengah malam tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan suspek di hadapan sebuah poliklinik di Jalan 16, Kampung Cheras Baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek ialah lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun yang juga rakan sekerja dan rakan serumah mangsa.
“Pihak polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Hasil siasatan awal mendedahkan motif kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati dan kegagalan mengawal kemarahan berikutan perselisihan faham berturut-turut antara suspek dan mangsa yang tinggal bersama selama lima tahun,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata yang boleh mendatangkan maut.
“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di hadapan majistret hari ini untuk membantu siasatan,” katanya.






