SEORANG pelajar lelaki berusia 16 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas dua tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan di dalam tandas perpustakaan, Mei lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa merogol dan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan berusia 16 tahun di dalam tandas perpustakaan di daerah ini kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 7 Mei lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Hukuman bagi setiap pertuduhan memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala bagi pesalah juvana, mahkamah boleh mengenakan hukuman antaranya bon berkelakuan baik, denda atau dihantar ke Sekolah Henry Gurney.
Berdasarkan laporan, pengadu yang juga ibu mangsa dipanggil ke sekolah oleh seorang guru yang memaklumkan anaknya didakwa dirogol oleh teman lelakinya.
Laporan polis kemudian dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada 5 Ogos lalu, sekali gus membawa kepada penahanan tertuduh bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Haryanti Othman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kesemua pertuduhan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 September ini bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta kes dan perintah.





