TIGA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames pada 2024 dan tahun lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Chandran Balurao, 37, Vadivelan Aruselvam, 30, dan Sundaramurthi Thiagarajah, 42, dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, ketiga-tiga mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Rames’ yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di alamat Kampung Sungai Division di Kuala Muda, Kedah antara Januari 2024 hingga 4 Disember 2025.
Jika sabit kesalahan, kesemua mereka masing-masing boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan, Sundaramurthi diwakili peguam S Shatish, manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan kemudian memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi berikutan kes berkaitan kumpulan jenayah terbabit turut dibicarakan di mahkamah berkenaan.
Hakim Najwa membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Pada 25 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan memaklumkan berjaya menahan lelaki yang juga ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Rames yang aktif di kawasan Sungai Division, Sungai Petani, Kedah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, suspek ditahan dalam Op Tiga pada 22 Mei lalu hasil kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand.
Menurutnya, suspek diberkas ketika dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand menuju ke Hyderabad, India sebelum dibawa pulang ke Malaysia berikutan memiliki waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani selain mempunyai Notis Merah Interpol.
Pada 30 Disember tahun lalu, seramai 20 ahli Geng Rames yang aktif dalam sindiket jenayah terancang di Kedah dan Pulau Pinang turut didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames di alamat Kampung Sungai Division dalam daerah Kuala Muda, Kedah, antara Januari 2024 hingga 4 Disember 2025.





