BEKAS isteri penyanyi Nubhan Ahmad, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie mengakui dirinya kini berasa seperti ‘terpenjara’ dan sentiasa diperhatikan susulan prosiding komital yang difailkan bekas suaminya terhadapnya.
Dr Fie, 36, berkata keadaan itu menyebabkan dirinya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan selain menimbulkan perasaan takut dan gemuruh, terutama apabila memikirkan dirinya perlu menjawab kira-kira 120 soalan dalam prosiding berkenaan.
“Saya macam ada perasaan takut, gemetar, terasa seperti diperhatikan. Apatah lagi saya disoal sebanyak 120 soalan. Ibarat dia menanti-nantikan saya membuat kesalahan.
“Perkara itu membuatkan saya rasa terpenjara. Jika kes ini cepat selesai, saya tidaklah berasa seperti itu.
“Apa saya nak buat, saya kena fikir terlebih dahulu. Memanglah kita berfikir sebelum mengambil tindakan, tetapi tak adalah sampai merasakan diri kita ini terpenjara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding kedua kes komital yang difailkan Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.
Menurut Dr Fie, situasi berkenaan turut membuatkan dirinya berasa terbatas untuk mengembangkan kerjaya sebagai doktor gigi selain bergiat aktif sebagai personaliti media sosial.
Katanya, sebagai ibu tunggal, dia mempunyai banyak impian yang mahu dicapai termasuk membina kehidupan lebih baik bersama tiga cahaya matanya.
“Sebagai ibu tunggal, saya mahu pergi jauh, macam-macam impian yang saya nak buat. Kalau boleh saya nak benda ini selesai secepat mungkin, tapi tak boleh sebab saya tak bersedia.
“Dia tidaklah mengganggu, tetapi saya rasa tersekat. Setiap tindak tanduk saya diperhatikan. Saya pula bukannya orang yang boleh duduk diam.
“Saya nak pergi lebih jauh, aktif dalam media sosial, bukan terperap dalam klinik 24 jam. Perbuatan saya itu bagai dapat dilihat oleh pihak di sana,” katanya.
Dr Fie berkata, keadaan itu menyebabkan dirinya berasakan kehidupan peribadinya tidak lagi mempunyai ruang privasi.
“Dia ibaratnya boleh lihat setiap tindak tanduk kita, membuatkan kita merasakan hidup kita ini tiada privasi,” ujarnya.
Sementara itu, prosiding komital terhadap Dr Fie ditangguhkan ke Januari tahun depan selepas pihak mahkamah dimaklumkan terdapat prosedur yang belum disempurnakan oleh pihak pemohon.
Hakim Syarie, Dr Zainal Abidin Kusmin menetapkan 19 dan 27 Januari 2027 sebagai tarikh baharu prosiding kes berkenaan.
Peguam syarie mewakili Dr Fie, Nor Hazura Hamzah berkata, prosiding hari ini sepatutnya membabitkan sesi soal balas terhadap anak guamnya oleh peguam pihak pemohon.
“Prosiding (komital) yang sepatutnya berlangsung hari ini adalah membabitkan sesi soal balas terhadap Dr Fie dengan peguam pihak pemohon (Nubhan).
“Bagaimanapun, prosiding tidak dapat diteruskan kerana pihak peguam pemohon tidak menyempurnakan beberapa prosedur yang sepatutnya dilakukan,” katanya.
Nor Hazura berkata, pematuhan terhadap prosedur penting bagi memastikan prosiding berjalan dengan sempurna dan sebarang keputusan tidak terjejas pada peringkat seterusnya.
“Perkara ini berkaitan dengan prosedur. Kalau kita teruskan juga, prosedur itu akan menjadi cacat. Mungkin juga apabila diteruskan pada peringkat akan datang, ada rayuan atau semakan,” katanya.
Pada Mei lalu, Nubhan memfailkan prosiding komital terhadap Dr Fie selepas mendakwa bekas isterinya melanggar tiga perintah mahkamah.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Fie mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 sebelum disahkan bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 2 Disember 2025.
Hasil perkongsian hidup selama kira-kira 10 tahun, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 9, Ahmad Aaffan, 7, dan Afzan Naylie, 4.





