PROSIDING komital penyanyi Nubhan Ahmad terhadap bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie, ditangguhkan ke Januari tahun depan berikutan beberapa prosedur yang didakwa belum disempurnakan pihak pemohon.
Hakim Syarie, Dr Zainal Abidin Kusmin menetapkan 19 dan 27 Januari 2027 sebagai tarikh baharu prosiding kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Peguam syarie yang mewakili Dr Fie, 36, yang juga pempengaruh, Nor Hazura Hamzah berkata, prosiding kedua kes komital membabitkan anak guamnya ditetapkan semula kepada dua tarikh berkenaan.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan penangguhan dibuat kerana terdapat prosedur yang belum dilengkapkan oleh peguam Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad selaku pemohon.
“Prosiding (komital) yang sepatutnya berlangsung hari ini adalah membabitkan sesi soal balas terhadap Dr Fie dengan peguam pihak pemohon (Nubhan).
“Bagaimanapun, prosiding tidak dapat diteruskan kerana pihak peguam pemohon tidak menyempurnakan beberapa prosedur yang sepatutnya dilakukan,” katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah Shah Alam, hari ini.
Nor Hazura berkata, prosiding hari ini sepatutnya turut membabitkan sesi soal balas Dr Fie oleh peguam pihak pemohon.
Beliau hadir bersama Dr Fie pada prosiding kedua kes komital yang difailkan Nubhan pada Mei lalu.
Mengulas lanjut, Nor Hazura berkata, pematuhan terhadap prosedur penting bagi memastikan prosiding dapat dijalankan dengan sempurna dan keputusan yang dibuat tidak terjejas pada peringkat seterusnya.
“Perkara ini berkaitan dengan prosedur. Kalau kita teruskan juga, prosedur itu akan menjadi cacat. Mungkin juga apabila diteruskan pada peringkat akan datang, ada rayuan atau semakan,” katanya.
Bagaimanapun, Nor Hazura enggan membuat sebarang andaian sama ada penangguhan itu mempunyai kaitan dengan kemungkinan pihak pemohon sengaja melengahkan prosiding.
Sebelum ini, Nubhan memfailkan prosiding komital terhadap Dr Fie atas dakwaan melanggar perintah mahkamah.
Pasangan itu bercerai dengan talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 2 Disember tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga selama 10 tahun sejak 2015.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.





