MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas seorang wanita warga Indonesia selepas dia mengaku bersalah mempromosikan pelacuran melalui aplikasi media sosial MiChat, bulan lalu.
Tertuduh, Nurlela, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah yang kemudiannya memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh wanita itu ditangkap pada 29 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, wanita berasal dari Batam, Indonesia itu didapati mempromosikan pelacuran melalui MiChat dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada orang awam bagi maksud eksploitasi seksual.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, Pengkalan Rama Tengah pada 29 Julai lalu, kira-kira jam 8.35 malam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada tarikh kejadian sepasukan anggota dari Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menjalankan Ops E-Noda di hotel itu susulan risikan aktiviti pelacuran melalui aplikasi MiChat.
Dalam serbuan itu, tertuduh ditahan di sebuah bilik hotel dan telefon bimbitnya dirampas bagi membantu siasatan.
Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik tertuduh mendapati akaun MiChat itu digunakannya untuk menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan dengan bayaran antara RM130 hingga RM250.
Sebelum itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan denda dan tidak dipenjarakan kerana itu kesalahan pertamanya dan turut menanggung ibu di kampung.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran dan menghujahkan penjara adalah mandatori di bawah Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan.
Sebaik sahaja Hakim Rohatul Akmar menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan, tertuduh kelihatan menangis sejurus prosiding kesnya itu selesai.





