JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menyerbu sebuah hotel tiga bintang yang menawarkan aktiviti tidak bermoral melibatkan wanita warga asing di Jalan Cheras di ibu negara awal pagi ini.
Operasi kira-kira jam 1.05 pagi itu dilakukan sepasukan anggota dan pegawai JIM Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan dan ketika serbuan, beberapa wanita asing yang berpakaian seksi dikesan sedang melayan pelanggan di bilik ditetapkan.
Salah sebuah bilik hotel itu juga disyaki dijadikan tempat rehat gadis terbabit sementara menunggu pelanggan.

Difahamkan, perkhidmatan seks itu ditawarkan menerusi aplikasi media sosial dan pelanggan yang berminat perlu membayar sekitar RM200 hingga RM230 sebelum diuruskan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai ‘kapten’.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, dalam serbuan itu, sebanyak lapan individu ditahan terdiri daripada enam wanita dan dua lelaki.
“Semakan mendapati wanita terbabit terdiri daripada lima warga Indonesia dan seorang warga Thailand manakala dua lelaki itu ialah seorang lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai ‘kapten’ serta seorang warga Nepal yang bekerja di hotel berkenaan,” katanya kepada media selepas mengetuai serbuan itu.
Menurut Hamsha, antara kesalahan dilakukan warga asing terbabit adalah tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan ke negara ini.
Beliau berkata, JIM Kuala Lumpur akan meningkatkan penguatkuasaan dan operasi tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.
Sementara itu, seorang gadis Indonesia dikenali sebagai Aqis, 21, mendakwa, dia berada di Malaysia sejak April lalu dan masuk ke negara ini sebagai pelancong.
“Kawan yang beritahu saya kerja di sini. Sehari biasanya seorang sahaja pelanggan.
“Komisen saya dapat kira-kira RM100 bagi setiap pelanggan…tolonglah cik, saya tak tahu. Saya sudah bercadang mahu pulang (kampung),” katanya.
Seorang wanita tempatan yang bekerja di kaunter hotel terbabit pula mendakwa mengetahui terdapat aktiviti persundalan terbabit, namun enggan mengulas lanjut.
“Saya kerja sini sudah setahun..ya sudah ada khidmat (tawaran seks) ini,” ujarnya.





