DEWAN Rakyat akan membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) esok, yang antara lain mendedahkan kelemahan tadbir urus dan pengurusan institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Berdasarkan takwim Mesyuarat Khas Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang disiarkan di portal Parlimen, persidangan khas itu akan berlangsung selama satu hari bermula jam 10 pagi.
Mesyuarat khas berkenaan yang turut disiarkan secara langsung di platform media rasmi itu dijadual dimulakan dengan sesi penerangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berhubung laporan RCI berkenaan, sebelum diteruskan dengan sesi pertanyaan dan perbahasan oleh Ahli Parlimen.
Sesi perbahasan kemudian dijangka digulung Dr Zulkifli dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Pada Rabu lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bersetuju supaya persidangan khas itu diadakan tanpa waktu rehat bagi memberi ruang secukupnya kepada Ahli Parlimen membahaskan laporan RCI TH.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 35 hingga 40 Ahli Parlimen sudah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan berkenaan.
Pada 29 Julai lalu, laporan RCI setebal 211 halaman mendedahkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Antara dapatan utama adalah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira kesan rosot nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan.
Menurut laporan itu, TH sepatutnya mencatat kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) diguna pakai sepenuhnya.
Dapatan itu menunjukkan kedudukan kewangan TH ketika itu berada pada tahap kritikal, selain wujud jurang defisit antara aset dan liabiliti sejak 2014 serta beberapa isu berkaitan rosot nilai pelaburan.
RCI turut mengenal pasti beberapa faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan TH, termasuk pembayaran hibah yang tinggi, amalan perakaunan kreatif, ketidaktegasan Ketua Audit Negara, penambahan visi TH sebagai tonggak ekonomi ummah serta peningkatan tanggungan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS).
Selain itu, RCI mendapati wujud transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
Pada Sabtu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan berhubung laporan RCI mengenai TH dijalankan sehingga ‘lubang cacing’.
Baginda bertitah, langkah itu penting bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.





