SAR kanak-kanak terjatuh sungai di Subang diperluas lebih 8 kilometer

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun yang terjatuh ke dalam sungai di Persiaran Subang Indah, petang semalam, diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian diperluas melebihi lapan kilometer.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kawasan pencarian diperluas mengikut arus sungai berikutan keadaan aliran air yang laju.

Katanya, operasi yang diteruskan sejak tengah malam tadi dibahagikan kepada tiga sektor bagi memperluas kawasan pencarian mangsa.

“Pencarian di Sektor A meliputi jarak 300 meter, Sektor B sejauh dua kilometer manakala Sektor C melebihi lapan kilometer menghala ke Sri Muda dan Sungai Kandis.

“Pencarian dilakukan menggunakan bot JBPM menerusi kaedah pencarian di permukaan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiga bot turut diturunkan di tiga lokasi sektor pencarian kira-kira jam 3 pagi tadi.

Katanya, setakat jam 9.25 pagi ini, anggota melakukan pencarian di pusat pemeriksaan kedua membabitkan laluan menghala ke Puchong menggunakan bot.

Bagaimanapun, beliau berkata, operasi SAR berdepan beberapa cabaran terutama keadaan arus sungai yang deras.

“Selain arus laju, kita bimbang sekiranya berlaku hujan di kawasan hulu yang boleh menyebabkan arus menjadi lebih deras.

“Terdapat juga beberapa kawasan yang menjadi jeram semula jadi menyebabkan bot tidak boleh melaluinya dan terpaksa dipindahkan menggunakan treler,” katanya.

Operasi hari ini melibatkan sembilan anggota dengan kekuatan dua bot, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Semalam, media melaporkan mangsa terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 6.30 petang ketika sedang bermain bersama rakan-rakannya berhampiran sebuah pasar raya di Persiaran Subang Indah.

JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.06 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya tiba kira-kira 10 minit kemudian.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here