SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori di Jalan Timur, Tawau, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa berusia 43 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan sebuah lori rigid dan motosikal.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 62 tahun yang dalam perjalanan dari arah Air Panas menuju ke Eastern Engineering, Jalan Timur.
“Ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori menunggang motosikal datang dari arah bertentangan sebelum dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan lori berkenaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.





