PENGUKUHAN tatakelola dalam sektor awam perlu diberi keutamaan sebagai langkah pencegahan awal bagi menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah serta salah guna kuasa.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap proses pentadbiran dalam urusan kerajaan dilaksanakan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
Menurutnya, rekod SPRM bagi tempoh 2021 hingga Jun 2026 menunjukkan sektor perolehan, penguatkuasaan dan pentadbiran kekal sebagai sektor paling berisiko di Sarawak.
“Kerajaan negeri dan seluruh pentadbiran awam Sarawak perlu memperkukuh mekanisme ketelusan serta akauntabiliti dalam proses pentadbiran bagi memastikan setiap urusan dilaksanakan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab,” katanya pada program Pemantapan Integriti, Tatakelola dan Antirasuah (PINTAR) Negeri Sarawak 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di Kuching hari ini.
Katanya, pendigitalan dalam sistem pentadbiran juga perlu diperkasakan bagi mengurangkan kerenah birokrasi, di samping menutup ruang dan peluang berlakunya salah guna kuasa serta rasuah.
Selain itu, kata beliau usaha membudayakan integriti dalam kalangan penjawat awam perlu dilaksanakan secara berterusan menerusi latihan dan pendidikan supaya nilai integriti dapat diterapkan dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan awam.
“Inisiatif memperkukuh tatakelola baik dan pencegahan rasuah merupakan usaha kolektif semua pihak dalam mencapai sasaran Malaysia ke tangga ke-25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang Tahun 2033,” katanya.
Persidangan PINTAR Negeri Sarawak 2026 yang bertemakan ‘Integriti Teras Kemakmuran Sarawak’ merupakan anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama SPRM Sarawak.
Persidangan berkenaan dihadiri kira-kira 400 wakil daripada agensi penguatkuasaan dan sektor awam di seluruh Sarawak.
Turut hadir Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohammad Salleh serta barisan panel antaranya Regional Office of Southeast Asia and The Pacific Anti-Corruption Adviser UNODC, Annika Wythes; Mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; dan Pengarah Bahagian Susulan Audit di Jabatan Audit Negara, Noor Rita Kassim.





