SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Subang akan dijalankan susulan tiada keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka berkenaan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, perkara itu diputuskan selepas menerima pemakluman daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melalui surat bertarikh 11 Ogos 2026 (semalam).
“Berdasarkan kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.104 Subang akan dijalankan,” menurut kenyataan SPR dikeluarkan hari ini.
Semalam, Wong Chen mengesahkan sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang kepada Johari pada Rabu lalu.
Menerusi hantaran di Facebook, wakil rakyat PKR itu memaklumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa jam 5 petang semalam.
Beliau berkata, tempoh selama tiga hari itu bertujuan memberi laluan kepada kakitangan Dewan Rakyat membuat persediaan bagi kekosongan luar jangka untuk Parlimen Subang.





