SEBANYAK 108 sekolah ditutup sementara di kawasan Serian susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 sebagai langkah pencegahan bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan susulan penutupan itu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas.
“Menurut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, di bawah bidang kuasa Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta sebaik IPU mencecah 200,” menurut JPBN Sarawak dalam kenyataan hari ini.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.
JPBN Sarawak memaklumkan kualiti udara ambien di Sarawak menunjukkan tren peningkatan bacaan IPU sejak 1 Ogos lepas.
“Setakat pukul 4 petang hari ini, dua kawasan mencatatkan bacaan IPU pada kategori sangat tidak sihat, iaitu 212 di Tebedu dan 202 di Serian manakala 11 kawasan berada dalam kategori tidak sihat, iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Samalaju, Miri, Lundu, Lubok Antu dan Lawas,” menurut kenyataan itu.
JPBN Sarawak turut menasihatkan orang awam supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah, khususnya apabila bacaan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat atau lebih tinggi.
“Golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau jantung hendaklah mengehadkan pendedahan kepada udara tercemar.
“JPBN Sarawak menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan situasi jerebu dan mendapatkan maklumat terkini hanya melalui saluran rasmi kerajaan,” menurutnya.





