UMNO Pahang tidak menolak kemungkinan akan menjalinkan kerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) namun pada masa yang sama sedia bergabung dengan mana-mana parti lain demi manfaat kepada rakyat negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya sedia membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti politik lain termasuk Pas sekiranya ia memberi manfaat dan kebaikan kepada rakyat di negeri berkenaan.
“Kita terbuka dengan siapa-siapa pun. Bukan sahaja kepada Pas tetapi kepada mana-mana parti lain. Ini demi rakyat Pahang.
“Cakap boleh cakap, tetapi pernah tak dengar saya cakap yang mengatakan kita menolak?” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Usahawan Makmur di Dewan Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.
Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang turut menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa UMNO Pahang menolak cadangan kerjasama dengan Pas seperti didakwa pihak tertentu sebelum ini.
Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya mengutamakan usaha penyatuan parti-parti Melayu termasuk UMNO, namun bersedia berdepan mana-mana parti pada PRU-16 sekiranya usaha itu tidak mendapat persetujuan.
Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur dilaporkan berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan diadakan dengan Barisan Nasional (BN) atau UMNO berhubung kerjasama berkenaan.
Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Pahang berkata, pihaknya kini menumpukan kerja untuk memastikan rakyat dapat terus pembelaan dan pembangunan seperti dirancang.
“Sekarang ini kita buat kerja untuk rakyat. Walaupun (pilihan raya) tidak jauh sangat, tetapi tidak dekat sangat, jadi tumpuan kita adalah buat kerja,” katanya.





