Anggota polis, dua OKT direman susulan penemuan dadah dalam lokap

POLIS Perak menahan tiga individu termasuk seorang anggotanya berpangkat konstabel dan merampas sejumlah dadah pelbagai jenis ketika melakukan pemeriksaan di Balai Polis Lumut pada Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menemukan dadah jenis methamphetamine, heroin dan kanabis bersama dua orang kena tuduh (OKT) berusia lingkungan 40-an yang berada di dalam lokap balai polis tersebut kira-kira jam 8.30 pagi.

“Polis menemukan 16 punjut plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 109.54 gram serta 16 punjut plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan 110.37 gram.

“Polis turut menemukan 23 punjut plastik mengandungi bahan daun-daun kering disyaki dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 142.31 gram,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelupusan barang kes dadah dan ketum di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh hari ini, lapor Bernama.

Mohd Alwi dalam pada itu berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan sebanyak RM18,534.

Beliau memberitahu, susulan penemuan tersebut, polis turut menahan seorang anggotanya berpangkat konstabel berusia lingkungan 30-an yang bertugas di balai polis tersebut bagi membantu siasatan.

Tambahnya, saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga individu mendapati dua orang positif dadah jenis methamphetamine manakala anggota polis terbabit negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.

“Kesemua mereka direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here