POLIS menerima laporan mengenai kehilangan dua pelajar perempuan Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Melaka, sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, laporan berhubung kehilangan Siti Nur Aaira Aidi, 16, dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, 16, dibuat seorang guru pada jam 10.46 malam, 11 Ogos lalu.
Menurutnya, Siti Nur Aaira mempunyai ketinggian 157 sentimeter, berat 50 kilogram dan berkulit gelap, dengan alamat terakhir di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.
“Manakala Nur Aisy Humaira mempunyai ketinggian serta berat sama dan berkulit cerah dengan alamat terakhir di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan kedua-dua pelajar terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrul Izwan Mohd Suffian di talian 017-8180106 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook hari ini turut memohon doa dan kerjasama masyarakat bagi membantu menemukan kedua-dua pelajar berkenaan.
“Di pagi Jumaat barakah ini tolong doakan agar dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang hilang kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat,” katanya.
Berdasarkan poster yang tular, lokasi terakhir kedua-dua pelajar berkenaan dilihat adalah di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
Siti Nur Aaira dilaporkan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna hitam, berkulit cerah sederhana atau kacukan, selain mempunyai bentuk badan kurus dan tinggi.
Nur Aisy Humaira pula kali terakhir dilihat memakai pakaian berwarna gelap.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan kedua-dua remaja berkenaan turut diminta menghubungi waris di talian 013-2994303 (ibu), 019-7652404 (ayah) atau 019-2370810 (Nisa – ibu).
Maklumat juga boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu usaha mengesan kedua-dua pelajar terbabit.





