Bekas siak, isteri orang didenda RM5,000 cuba zina di bilik jenazah

SEORANG bekas siak dan wanita berstatus isteri orang masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan percubaan persetubuhan haram di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Mawardi Che Man menjatuhkan hukuman itu terhadap kedua-dua tertuduh, masing-masing berusia 48 dan 51 tahun, selain menetapkan penjara 18 bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa cuba melakukan persetubuhan haram dengan individu yang bukan suami atau isteri yang sah di sisi hukum syarak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di bilik pengurusan jenazah masjid berkenaan dalam tempoh antara Januari hingga April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Ketika menjatuhkan hukuman, Mawardi turut menegur kedua-dua tertuduh berikutan perbuatan itu dilakukan di tempat pengurusan jenazah.

“Nasib baik tidak jadi jenazah semasa melakukan perbuatan itu, kalau tidak terus dimandikan di situ,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh dipercayai melakukan perbuatan itu berulang kali di bilik pengurusan jenazah masjid berkenaan sepanjang tempoh tersebut.

Mereka kemudian dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada 4 Jun lalu selepas satu laporan polis diterima berkaitan dakwaan rogol.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati perbuatan itu dipercayai berlaku secara sukarela dan dilakukan berulang kali.

Mawardi berkata, kes berkenaan serius kerana berlaku di kawasan masjid yang mempunyai fungsi khusus dalam pengurusan jenazah umat Islam.

“Di sinilah tempat penyucian akhir orang yang mati. Tetapi apa yang berlaku di tempat kejadian ini mendatangkan dosa besar kerana persetubuhan haram dilakukan di tempat berkenaan,” katanya.

Beliau turut menegur tertuduh lelaki yang pernah bertugas sebagai siak kerana bertanggungjawab menguruskan persiapan jenazah, manakala wanita berkenaan membantu kerja pembersihan masjid sebagai sukarelawan di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Saya sedih dan ada juga rasa marah, kamu sudah zina, itu sudah ada dalam al-Quran. Tambahan pula kamu lakukan di tempat yang begitu mulia,” katanya.

Tambahnya, perbuatan itu bukan sahaja melanggar hukum syarak, malah mencemarkan amanah yang diberikan kepada individu yang sepatutnya menjaga kesucian rumah ibadat.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersama Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah yang memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan, lokasi kejadian serta kedudukan kedua-dua tertuduh sebagai petugas masjid.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam syarie Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, lapor BH.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here