PKR perlu bekerja lebih keras untuk memenangi semula kepercayaan golongan muda yang kini semakin menjauhkan diri daripada parti dan politik.
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, kekecewaan anak muda terhadap politik tidak boleh dipandang ringan kerana mereka membesar dengan melihat sendiri tindakan ahli politik ketika berdepan pandemik Covid-19 serta pelbagai krisis selepas itu.
“Persoalannya bukanlah sekadar kekecewaan yang wajar, persoalannya bagaimana kita memenangi semula kepercayaan mereka,” katanya ketika merasmikan Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini.
Nurul Izzah berkata golongan muda tidak sepatutnya hanya dilibatkan selepas sesuatu keputusan dibuat, sebaliknya perlu diberikan ruang untuk duduk semeja, berbincang dan mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan.
“Anak muda tak layak menunggu sehingga mereka cukup umur untuk dipercayai,” katanya.
Beliau juga mengingatkan, PKR perlu mengubah pendekatan terhadap golongan muda dengan memastikan mereka bukan sekadar menjadi penerima bantuan.
Katanya, golongan itu perlu diberi peluang menjadi peneraju dalam bidang ekonomi, perusahaan, profesion serta proses membuat keputusan negara.
Nurul Izzah berkata PKR juga perlu terus menjadi sebuah parti yang menjadi rumah kepada pelbagai golongan, termasuk kelompok progresif serta masyarakat daripada latar belakang kaum yang berbeza.
Katanya, perjuangan reformasi dan pembinaan masyarakat madani tidak boleh dipisahkan daripada prinsip keadilan sosial, demokrasi dan amanah.
“Sederhana dalam pendekatan, pragmatik dalam strategi, tapi tak pernah berkompromi pada prinsip. Itulah jantung reformasi ini dan itulah jantung Madani yang cuba kita bina semula hari ini,” katanya.





