PN: Apapun keputusan RoS…’satu senpun’ tak akan untungkan Bersatu!

HARI ini Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, beliau yakin Perikatan Nasional (PN) tidak melanggar Perlembagaan gabungan itu sehingga boleh digantung Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Kata beliau di Marang, tiada bukti atau hujah kukuh berisiko membawa kepada penggantungan gabungan itu.

 Isu ini timbul apabila pada Selasa , RoS mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu yang juga parti komponen PN, antaranya dakwaan parti tersebut tidak dilibatkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN, pada 16 Julai. Ia termasuk aduan berkaitan kedudukan keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.

Dari segi undang-undang biarlah RoS tentukan sama ada PN boleh dikenakan tindakan atau tidak berdasarkan aduan Bersatu.

Tetapi dari segi politik, apapun keputusan RoS bak kat orang ‘satu sen’ pun ia tidak akan memberi keuntungan politik kepada Bersatu yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.

Kalau PN digantung atau diharamkan…  Pas, Wawasan, Gerakan dan MIPP tetap boleh bekerjasama walaupun bukan dalam satu gabungan rasmi. Mereka boleh mengikat persefahaman untuk bertanding dalam pilihan raya seperti mana dilakukan oleh BN dengan Pas dan Wawasan di Negeri Sembilan.

 Mereka hanya tidak dibenarkan menggunakan lambang  PN tetapi boleh menggunakan lambang sendiri.

Soalnya Bersatu mahu ke mana? Bersatu tetap kena bertanding keseorangan dan hampir pasti akan tersungkur dan tersembam lagi seperti mana dialami di Johor kena 56-0 dan di Negeri Sembilan 36-0. ‘Paling sedih’ hampir kesemua calon hilang wang deposit!

 Sebab itulah sejak awal lagi, penulis telah ingatkan Bersatu janganlah ‘meroyan’ sangat untuk terus berada dalam PN. Pas yang pemimpinnya menjadi Pengerusi PN sudah memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.

 Pas sudah ada Wawasan yang diterajui oleh bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan kedua-dua parti itu mendapat kerjasama erat Gerakan dan MIPP serta Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

 Tetapi bagaimana dengan Bersatu? Bersatu sudah ada apa-apa kekuatan lagi. Bersatu kini hanya bergantung kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dijangka hadapi cabaran getir pertahan kerusi di DUN Hulu Kelang, Datuk Dr.Mohd Radzi Jidin yang belum tentu menang di Putrajaya, Datuk Seri Mohd Faizal Azumu yang semakin hilang pengaruh di Perak dan Tun Faisal Ismail Aziz yang hilang deposit ketika PRN Negeri Sembilan. 

 Itu sahaja kekuatan yang Bersatu ada. Ketika ini bukan kata pemimpin malah ahli-ahli akar umbipun semakin ramai meninggalkan Bersatu. Bersatu juga tidak boleh lagi bergantung kepada Muhyiddin yang semakin terhakis pengaruhnya.

Sebab itulah dari semasa ke semasa ada sahaja pemimpin Bersatu ‘angkat kaki’ daripada parti itu yang boleh menyebabkan, kalau nasib tidak baik Bersatu ibarat hidup segan mati tak mahu atau ‘mati perlahan-lahan’.

Oleh itu bagi penulis daripada Bersatu dok sibuk membuat aduan kepada RoS mengenai PN, lebih baik Bersatu mengumpul aduan dan laporan daripada saki baki pemimpin dan ahli Bersatu yang masih ada bagaimana mahu menyelamatkan ‘kapal Bersatu’ daripada tidak terus tenggelam.

Sepatutnya bila kalah di Johor dan Negeri Sembilan, Bersatu buat ‘post mortem’ kenapa mereka kalah bukan asyik salahkan Pas. Sedangkan pemimpin Bersatu juga kata ‘sapa kata Bersatu tak ada jentera’?

 Langkah itu jauh lebih berfaedah daripada membuat tindakan yang dilihat bukan tidak menguntungkan PN dari segi organisasi malah menyebabkan Bersatu terus dipinggirkan oleh orang Melayu.

Bersatu mahu bekerjasama dengan siapa lagi? Kalau Pas pun dah tolak..Bersatu tidak ada lagi tempat bergantung demi kelangsungan perjuangan politiknya kecuali menjalinkan persefahaman dengan Pakatan Harapan…Mungkinkah? Kenapa tak boleh? Dalam politik segalanya berkemungkinan…sebab itu ada istilah ‘adinda’, ‘sahabat’ ‘kenalan’ dan ‘teman’…betul tak?



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here