
SEKITAR awal tahun 2021, saya ada menulis satu rencana mengenai kutub politik di Malaysia. Ilham penulisan rencana itu tercetus selepas kami berenam dari Majlis Perundingan Melayu (MPM) dijemput mengadakan pertemuan dengan tonggak utama kepimpinan UMNO ketika itu.
Pada masa itu, kedudukan UMNO amat terumbang-ambing. Ada ura-ura untuk UMNO beralah, meninggalkan kutub politik yang diterajuinya sekian lama dan berhijrah ke kutub politik yang satu lagi, yang dikuasai DAP.
Pada era pramerdeka, UMNO yang menerajui Perikatan, bersama dua lagi parti pengasasnya, MCA dan MIC, amat gah menjadi tempat rakyat menyandarkan harapan dalam memperjuangkan kemerdekaan.
Parti-parti pembangkang tidak membentuk kesepakatan bagi melawan Perikatan. Maka, pada ketika itu hanya ada satu kutub politik yang berpengaruh, iaitu Perikatan.
Selang enam tahun selepas Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia bersama Sarawak dan Sabah, manakala Singapura dikeluarkan, sisa-sisa PAP yang dijenamakan sebagai DAP bertapak begitu kuat.
Kekuatannya amat luar biasa. Ia turut didokong oleh pengaruh kekuatan ekonomi dalam kalangan penyokong tegar MCA yang berhijrah ke DAP atau memilih untuk menyokong PGRM, parti serpihan MCA.
Para pelompat ini, yang majoritinya terdiri daripada penggerak ekonomi negara, rancak berpesta apabila negara melaksanakan RMK-1 yang mengamalkan dasar ekonomi pasaran terbuka, sekali gus meminggirkan orang Melayu daripada dunia ekonomi.
Menjelang PRU 1969, kekuatan kutub politik Perikatan yang diterajui UMNO benar-benar teruji. MCA semakin lemah. PGRM dan DAP ibarat singa lapar. DAP bukan sahaja semakin kuat, malah semakin biadab. Ia menerajui kutub politik yang menentang Perikatan.
Sekalipun Perikatan bersama sekutu politiknya di Sarawak dan Sabah memenangi PRU 1969, kemenangan itu sekadar mampu membentuk kerajaan yang lemah.
Pesta politik melampau pasca-PRU 1969 yang didalangi DAP akhirnya mencetuskan peristiwa hitam dalam sejarah negara apabila tragedi 13 Mei tercetus.
Dalam tempoh pentadbiran MAGERAN, Perikatan berusaha keras memujuk beberapa parti politik utama, termasuk PAS, PGRM serta parti-parti utama di Sarawak dan Sabah, untuk bergabung membentuk Barisan Nasional (BN). Kutub politik yang diterajui Perikatan membesar menjadi BN yang amat berpengaruh. Kutub politik yang dikuasai DAP pula hilang taring. Pun begitu, DAP tetap tegar untuk kekal bersendirian.
Masa berubah pantas. Kekuatan BN akhirnya memakan diri. Dek kekuatan itu, BN menjadi parti yang bongkak dan mentadbir negara dengan tatakelola yang bocor di sana sini. Rasuah, salah guna kuasa serta beberapa sifat mazmumah lain merosakkan ramai pemimpin dalam BN. Ia ibarat barah yang tiada tabib mampu merawatnya.
Pada masa yang sama, perebutan kuasa dalam beberapa parti tunggak utama BN semakin menjadi-jadi.
Pergolakan kepimpinan Pas di Kelantan menyebabkan parti itu terbelah empat, lantas memaksa ia dikeluarkan daripada BN. Sekalipun Pas tidak menyertai kutub politik yang dikuasai DAP, mereka sepakat menjadikan BN sebagai the common enemy.
Pergolakan USNO di Sabah memberi laluan untuk UMNO bertapak di sana. Pada masa yang sama, lahirlah beberapa parti politik lain, ada antaranya berkiblat kepada DAP dan menentang BN.
Secara perlahan-lahan, DAP berjaya menjadikan kutub politiknya semakin berpengaruh.
Pergolakan dalaman UMNO melahirkan Semangat 46 yang akhirnya berhijrah ke kutub yang bersekutu dengan DAP.
Pergolakan dalaman UMNO ibarat api dalam sekam. Pertikaian sebelum ini yang menyaksikan Semangat 46 bersekongkol dengan DAP tidak memberikan apa-apa pengajaran kepadanya.
Episod perpecahan seterusnya dalam UMNO menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkirkan, lantas beliau menubuhkan PKR yang kemudiannya turut berhijrah ke kutub politik yang diterajui DAP.
Dengan pengaruh Anwar, tiga parti pembangkang utama, DAP, PKR dan PAS, akhirnya membentuk Pakatan Rakyat (PR) untuk lebih tersusun dalam usaha kolektif mereka menjatuhkan BN.
Barah dalam UMNO semakin parah. Pemimpinnya terus berbalah. Sekutu tradisinya dalam BN juga semakin dijauhi oleh penyokong tegar masing-masing. Bukan sahaja parti serpihan meninggalkan BN, penyokong mereka juga berduyun-duyun menyertai parti politik dalam blok PR. UMNO semakin lemah, manakala MCA dan MIC semakin tidak relevan.
Kemuncak perpecahan dalam UMNO ialah menjelang PRU-14 pada 2018, apabila ramai pemimpinnya keluar dan bersekutu pula dengan PR. Inilah mobiliti politik paling besar dalam sejarah politik tanah air.
Pola mobiliti atau penghijrahan kutub politik ini sama sahaja sejak penubuhan Semangat 46, iaitu parti-parti politik yang menjauhi BN akan berhijrah menyertai kutub politik lawan yang diketuai DAP.
Hasil daripada penghijrahan kutub politik ini akhirnya bukan sahaja berjaya menumbangkan kerajaan BN, malah lebih parah, UMNO yang sekian lama begitu angkuh dan gah jatuh tersungkur dengan hanya berbaki sekitar 30 kerusi Parlimen.
Satu demi satu parti gabungan meninggalkannya. Penyudahnya, BN berbalik kepada komposisi tiga parti asal dalam Perikatan, iaitu UMNO, MCA dan MIC, yang kesemuanya nyawa-nyawa ikan.
Kutub politik lawan yang diterajui DAP dan didokong sama oleh orang UMNO yang menikamnya dari belakang menerusi Bersatu menjadi kutub politik baharu yang cukup kuat untuk membentuk kerajaan.
Akhirnya, Perikatan (dan Pas yang berseteru dengan PR), buat sekian kalinya bersepakat sebagai pembangkang. Beberapa acara politik, seperti demonstrasi menolak ICERD, mereka bersama-sama menentangnya.
Selama lapan tahun, Perikatan berada di kutub pembangkang yang lemah. Ia dilabel sebagai parti politik Melayu yang cacat. Ramai dalam kalangan pemimpinnya terkait dengan puluhan kes mahkamah.
Selepas pergolakan politik Sheraton Move 2020, terbentuk satu lagi kutub politik dalam kalangan orang Melayu. Bersatu berpisah daripada PH, bersekutu dengan PAS dan membentuk PN, tetapi enggan bersekutu dengan BN kerana membenci UMNO.
Dek ketegaran Bersatu itu, dalam PRU-15 pada 2022, berlakulah persaingan tiga kutub politik, iaitu BN, PH dan PN. Keputusannya merugikan orang Melayu. PN kekal tegar, mati balik hidup, enggan bersepakat dengan BN. Akhirnya, BN dipujuk untuk melengkapkan kekuatan PH membentuk Kerajaan MADANI. GPS juga akur dan ikut kehendak BN.
BN melalui banyak ujian apabila bersetuju bersama PH membentuk Kerajaan MADANI.
Pun demikian, ahli-ahli UMNO cekal setia demi menyelamatkan UMNO sebagai institusi politik keramat orang Melayu, sekalipun calar-balar, penuh luka dan parut politik, dihentam dan diserang dari pelbagai sudut. Dosa segelintir pemimpin ditanggung oleh UMNO dan ahli-ahlinya yang setia.
MCA dan MIC pula sentiasa main acah-acah dengannya. Hari ini kata mahu tinggalkan BN, esok rujuk balik. Apa pun, alhamdulillah, mereka bertiga kekal dalam BN. Keanjalan dan dinamik politik Malaysia belum berakhir. Ia akan kekal anjal buat beberapa penggal PRU akan datang.
Keresahan BN berada dalam Kerajaan MADANI dan keresahan Pas berada dalam PN bersama Bersatu akhirnya mencetuskan satu mobiliti politik baharu.
MPM pula, semasa Majlis Sembang-sembang Santai 2025 pada 20 Ogos 2025, meniupkan sentimen penyatuan Melayu demi kelangsungan kuasa politik Melayu, dengan misi undi Melayu, calon Melayu. Misi itu digerakkan secara covert.
Dalam lingkaran politik, BN diterajui UMNO dan PN diterajui PAS memainkan sentimen yang sama. Gemanya semakin kuat.
Akhirnya, BN memberanikan diri untuk bergerak solo. PRN Johor menjadi pentas ujiannya. BN berjaya. Diuji pula dengan persefahaman antara BN dengan PN di PRN Negeri Sembilan. Ia juga beroleh kejayaan.
Hatta, semakin anjallah mobiliti politik antara tiga kutub utama yang kini kembali kepada dua: satu diterajui bersama BN-PN dan satu lagi oleh DAP. Bersatu memilih untuk kekal sebagai kutub ketiga yang ternyata kian tidak relevan.
Sekalipun UMNO masih diterajui muka-muka yang sama, sokongan kembali kepadanya. Mereka yang kekal setia bersama UMNO bijak dalam mempertahankannya sebagai institusi politik keramat bagi orang Melayu.
Pas pula, yang diperkukuhkan dengan kehadiran Wawasan, iaitu serpihan kepada Bersatu, dilihat ada kesungguhan untuk membina semula kesepakatan dengan BN, sekalipun formula kesepakatan itu masih lagi berbentuk kesepakatan semasa.
Dengan mobiliti itu dalam kalangan BN dan PN, kutub politik yang diterajui DAP semakin mengelabah. DAP membina keinginan, cuba meniru BN untuk bergerak solo selepas PRN Negeri Sembilan.
Pada hemat saya, DAP belum ada keberanian untuk berbuat demikian. Esok, Ahad 16 Ogos 2026, 4,000 perwakilan DAP akan bersidang untuk membuat keputusan mengenai pendirian mereka. Bagi kita semua, ia adalah satu keputusan yang ramai daripada kita sudah dapat menekanya.
Soalannya, jika DAP belum berani bergerak solo, adakah ia mempunyai kekuatan untuk terus memikul dua bagasi yang semakin membebankannya?
Apa pun, Alhamdulillah, BN dan PN sudah ada persefahaman, sekalipun ia hanya terbina mengikut keperluan semasa. Setidak-tidaknya, persefahaman itu sudah cukup kuat untuk parti-parti politik utama orang Melayu menjauhi kutub politik yang dikuasai DAP.
Persoalan seterusnya kepada para pemimpin BN dan PN ialah kemampuan mereka mengurus keanjalan kesepakatan itu. Mesti ada resipi dan mekanisme yang mampu mengekang mobiliti mana-mana sekutunya daripada berbalik semula ke kutub politik yang dikuasai DAP.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan 2026.
Penulis adalah Setiausaha Agung MPM





