Perwakilan WP gesa DAP kekal dalam kerajaan, nilai semula hubungan dengan Anwar

DAP wajar kekal dalam kerajaan perpaduan buat masa ini, tetapi perlu menilai semula hubungannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perwakilan Wilayah Persekutuan, Sangeet Kaur Deo berkata, parti itu perlu terus berada dalam Kerajaan Persekutuan kerana memerlukan masa untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan terhadap parti.

“Kita boleh menunjukkan pelbagai reformasi yang dilaksanakan menteri kita, dan memang banyak. Di peringkat kementerian, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan adalah kukuh.

“Namun, kita tidak boleh mengetepikan masalah lebih besar yang sedang dihadapi parti.

“Dalam terlalu banyak isu, kita memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu menggugat kestabilan kerajaan,” katanya ketika berucap pada perbahasan sama ada DAP perlu kekal atau keluar daripada Kerajaan Persekutuan di Persidangan Parti DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini..

Sangeet yang merupakan anak bekas pemimpin DAP, mendiang Karpal Singh berkata, DAP tidak boleh menafikan wujud beberapa kontroversi berkaitan rasuah yang semakin menjadi perhatian sepanjang parti itu berada dalam kerajaan.

“Kita mendapat mandat untuk memerintah atas janji mahu membanteras rasuah.

“Adakah kita sudah melakukannya? Belum. (Presiden UMNO) Zahid Hamidi memperoleh DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) bagi 47 pertuduhan terhadapnya. Kita juga berdepan kontroversi melibatkan institusi negara, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Sangeet berkata, UMNO juga secara terbuka menyerang DAP walaupun kedua-dua parti berada dalam gabungan Kerajaan Persekutuan yang sama.

“Adakah mereka benar-benar rakan gabungan yang boleh kita bekerjasama?. Saya menggesa Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) supaya menilai semula secara serius hubungan kita dengan Anwar.

“Daripada menyatukan rakan-rakan gabungan, apa yang beliau lakukan?. Beliau memecahbelahkan kita dan melaga-lagakan satu pihak dengan pihak lain. Beliau memperkukuh UMNO. Perkara ini tidak boleh kita abaikan,” dakwanya.

DAP mengadakan persidangan khas sehari dengan kehadiran lebih 4,000 perwakilan dijadual mengundi sama ada parti itu perlu kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here