TIMBALAN Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berjanji beliau akan terus menyumbang kepada parti walaupun mengambil cuti sementara daripada tugasnya.
Menurutnya, khidmat masyarakat perlu menjadi sebahagian daripada agenda reformasi parti, seperti yang dicadangkan Ketua Pemuda PKR, Muhammad Kamil Munim dalam ucapannya Jumaat lalu.
“Saudara dan saudari yang saya hormati, PKR akan terus memikul tanggungjawab ini. Saya juga akan terus memikul tanggungjawab itu, tetapi melalui saluran yang berbeza.
“Namun, kita tetap membawa hala tuju yang sama, iaitu memperkukuh institusi, memelihara maruah, membuka peluang dan membantu membina Malaysia yang lebih adil,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2026 di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Nurul Izzah turut berterima kasih kepada ahli PKR yang terus bersamanya ketika melalui waktu sukar, khususnya ketika bapanya, Presiden PKR dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Pada minggu lalu, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Lembah Pantai itu mengumumkan hasrat melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR untuk melanjutkan pengajian.
Jawatan Timbalan Presiden PKR disandang oleh Nurul Izzah bagi penggal 2025 hingga 2028 selepas beliau menewaskan penyandang ketika itu, Datuk Seri Rafizi Ramli, dalam pemilihan parti pada Mei 2025.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini menjelaskan Nurul Izzah hanya akan mengambil cuti sementara daripada tugas sebagai Timbalan Presiden selepas Kongres Nasional PKR.
Menurut Fahmi, Nurul Izzah pada awalnya meminta untuk berundur sepenuhnya, tetapi kepimpinan parti memutuskan supaya beliau hanya berehat sementara.
Dalam ucapannya, Nurul Izzah turut mempertahankan penglibatan Anwar yang semakin aktif di pentas antarabangsa dengan menegaskan bapanya membawa suara rakyat Malaysia.
Beliau turut membidas pihak yang mempertikaikan pengaruh Anwar di peringkat global dan menyifatkan kritikan sedemikian sebagai berpunca daripada rasa cemburu.
“Anda boleh mengkritik beliau, tiada salahnya. Saya juga mengkritik beliau. Tetapi jika anda memfitnah dan tidak dapat menerima perkara itu semata-mata kerana cemburu, lebih baik berjumpa pakar psikologi.
“Negara ini mempunyai banyak masalah yang perlu diselesaikan. Kita tiada masa untuk mendengar anda merungut kerana tidak menjadi perdana menteri,” katanya.





