SEORANG anggota Unit Peronda Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM14,000.
Perintah reman sehingga 20 Ogos itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.
Anggota polis berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Penahanan itu susulan penahanan seorang pegawai polis yang bertugas di lebuh raya sama pada 11 Ogos lalu kerana disyaki menerima suapan sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pengguna lebuh raya yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati anggota terbabit disyaki bersubahat dengan pegawai polis berkenaan melakukan perbuatan itu antara Januari hingga Julai lalu.
“Mereka dipercayai menerima rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga yang dipercayai digunakan suspek,” katanya.
Sementara itu, perintah reman terhadap pegawai polis yang ditahan sejak 11 Ogos lalu disambung empat hari lagi sehingga 19 Ogos.
Lanjutan reman itu dikeluarkan majistret dalam prosiding pagi tadi selepas tempoh reman pertama berakhir hari ini.
Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.





