POLIS mengesahkan kejadian seorang lelaki ditumbuk di kepala dalam pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan tapak perniagaan di hadapan sebuah pusat beli-belah di bandar raya Melaka, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, pihaknya mengesan video kejadian itu yang tular menerusi Facebook kira-kira jam 8 pagi tadi.
Katanya, semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 petang di lokasi berkenaan dan satu laporan polis dibuat pada hari sama kira-kira jam 9.17 malam.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan tapak perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengadu wanita berusia 35 tahun bersama suaminya berusia 47 tahun hadir ke lokasi untuk berbincang dengan pihak terbabit, namun perbincangan menjadi tegang.
Katanya, seorang lelaki berusia 46 tahun kemudian menumbuk bahagian atas dahi suami pengadu sehingga menyebabkan mangsa berasa sakit.
“Turut berada di lokasi ialah seorang wanita berusia 45 tahun dan seorang lelaki berusia 35 tahun.
“Tiada sebarang kata-kata ugutan dikesan dan kedua-dua pihak kemudian beredar dari lokasi kejadian,” katanya.
Halim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 160 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan provokasi serta mengeruhkan keadaan.
“Sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan melalui saluran yang sewajarnya,” katanya.





