SELEPAS sedekad menanti, Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban kembali mengungguli pentas Festival Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan Ke-24 Tahun 2026 apabila dinobatkan sebagai johan bersama Anugerah Emas.
Kejayaan itu diraih selepas pasukan SDAR menampilkan persembahan bertenaga dan kemas untuk mengatasi 17 pasukan lain yang bersaing dalam festival yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 11 hingga 13 Ogos lalu.

Pencapaian itu amat bermakna buat SDAR kerana ia merupakan kejuaraan kedua sekolah itu dalam festival berkenaan selepas kali terakhir muncul juara pada 2016.
Persembahan SDAR menyerlah menerusi keserasian setiap anggota pasukan, selain ketepatan, disiplin, kreativiti dan kawalan persembahan yang menjadi antara faktor utama kejayaan mereka menawan hati barisan juri.

Jurulatih dan alumni SDAR, Adam Asyraf Shazly berkata, kemenangan itu bukan hadir dengan mudah, sebaliknya hasil komitmen konsisten para pelajar serta sokongan berterusan guru dan pihak sekolah sepanjang persiapan.
“Anugerah ini adalah hasil kerja keras semua pihak. Para pelajar memberikan komitmen yang sangat tinggi dan mereka sanggup berkorban masa untuk memastikan setiap aspek persembahan dapat dilakukan sebaik mungkin,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Menurut Adam Asyraf, kejayaan tersebut turut membuktikan bahawa pasukan SDAR mampu bersaing di peringkat tertinggi apabila setiap anggota memahami peranan masing-masing dan mengekalkan disiplin sebagai satu pasukan.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum SDAR, Noraishah Mohd Sharif pula menyifatkan kemenangan itu sebagai satu pencapaian yang cukup membanggakan warga sekolah, khususnya selepas penantian selama 10 tahun untuk kembali bergelar juara.

“Ini adalah kejayaan yang sangat bermakna buat SDAR. Ia bukan sekadar membawa pulang piala, tetapi menjadi bukti bahawa usaha, disiplin dan semangat kerja berpasukan yang diterapkan kepada murid mampu menghasilkan pencapaian membanggakan,” katanya.
Menurut Noraishah, festival berkenaan bukan sekadar menguji kemahiran muzik setiap pasukan, malah menuntut tahap disiplin, ketepatan, kreativiti, kepimpinan dan daya tahan yang tinggi, sekali gus selari dengan usaha membentuk murid SBP secara holistik.

Dalam keputusan akhir, SDAR muncul johan dan menerima Anugerah Emas, diikuti SM Sains Sultan Mahmud (SESMA), Terengganu di tempat kedua manakala Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya di tempat ketiga. SM Sains Selangor (SMSS), Kuala Lumpur dan SM Sains Kuching (SAINSKU), Sarawak masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.
Lebih membanggakan, kejayaan di UPM Serdang itu merupakan kejuaraan kedua yang diraih pasukan SDAR tahun ini selepas mereka muncul juara ASEAN Music Games Malaysia National Qualifiers pada 7 Jun lalu.
Kemenangan tersebut turut membuka peluang buat pasukan SDAR mewakili Malaysia pada ASEAN Music Games yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada September depan, sekali gus memberikan satu lagi pentas besar untuk mereka mengharumkan nama sekolah dan negara.
Kejayaan itu membuktikan kecemerlangan SDAR tidak hanya terukur melalui pencapaian akademik, sebaliknya turut terserlah menerusi bakat seni, ketekunan dan semangat berpasukan yang berjaya diterjemahkan para pelajar di pentas kebangsaan.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP), Rose Aza Che Arifin yang turut menyampaikan penghargaan kepada pasukan yang berjaya menampilkan persembahan terbaik sepanjang festival.
Yang turut hadir, Pengetua Cemerlang Sekolah Sultan Alam Shah, Nor Azam Abdullah selaku pengelola Festival Wind Orchestra SBP Peringkat Kebangsaan Ke-24 Tahun 2026, serta Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Husalshah Rizal Hussian.





