POLIS sedang giat mengesan tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun sebuah kedai emas di Sky Avenue, Genting Highlands, membabitkan kerugian lebih RM1.7 juta, Isnin lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, ketiga-tiga suspek dikesan melarikan diri menggunakan sebuah kereta mewah jenis BMW yang didaftarkan atas nama seorang lelaki di Ampang, Selangor.
Menurutnya, perkara itu dikesan berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Susulan kejadian, Op Tutup diaktifkan jam 12 tengah hari semalam di sekitar Genting Highlands dan laluan menghala ke Batang Kali, Selangor sebelum ditamatkan jam 4.15 petang hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azry Akmar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.39 pagi apabila tiga suspek bersenjatakan kapak dan kuku kambing menyerbu premis berkenaan.
“Suspek yang memakai penutup muka, topi dan jaket dipercayai masuk ke dalam premis sebelum mengumpil cermin rak pameran barang kemas dan melarikan lima bekas berisi 81 barang kemas pelbagai jenis seberat 2.5 kilogram bernilai lebih RM1.7 juta.
“Suspek hanya mengambil masa kira-kira dua minit sebelum keluar dari premis itu jam 11.41 pagi,” katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian tiada pelanggan berada di dalam premis berkenaan, sebaliknya hanya dua pekerja berada di situ manakala seorang lagi pekerja keluar berehat.
“Pemeriksaan mendapati tiada pengawal keselamatan ditugaskan di premis tersebut,” katanya.
Menurutnya, pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
Azry Akmar berkata, polis memandang serius kejadian berkenaan dan giat menjalankan siasatan bagi mengesan ketiga-tiga suspek terbabit.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Aqilah Azmi di talian 011-3175 9522 atau mana-mana balai polis berhampiran.





