Pesara dari Kajang muncul jutawan kelima Rizq Plus Bank Rakyat

SEORANG pesara dari Kajang, Selangor, Aziz Mohamed, 68, muncul jutawan kelima Bank Rakyat menerusi Cabutan Jutawan Rizq Plus yang menjadi antara pemenang yang diraikan Bank Rakyat pada Majlis Raikan Ganjaran #UntukSemua di Menara Kembar Bank Rakyat hari ini.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, Rizq Plus menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM10.8 juta, manakala Kempen Suara Hati 2026 menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM300,000.

Katanya, akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat kini merekodkan jumlah pelaburan melebihi RM1 bilion dengan lebih 250,000 rakyat Malaysia memilih produk itu, sejak diperkenalkan pada 2022.

“Akaun Pelaburan-i Rizq Plus adalah instrumen pelaburan patuh Syariah yang boleh dimulakan dengan serendah RM100, sekali gus membantu pelanggan membentuk tabiat kewangan yang lebih sihat.

“Sejak produk itu diperkenalkan pada 2022, seramai lima jutawan telah dilahirkan. Peluang masih terbuka untuk Cabutan Jutawan seterusnya pada Oktober 2026, yang menawarkan hadiah RM1 juta kepada seorang lagi bakal jutawan,” katanya pada Majlis Raikan Ganjaran #UntukSemua hari ini.

Selain Aziz, majlis itu turut meraikan pemenang Cabutan Anggota yang membawa pulang RM100,000 serta pemenang Cabutan Bulanan bernilai RM20,000.

Dalam pada itu, Mohd Irwan berkata, menerusi Kempen Suara Hati 2026, Awang Ahmad Khadar Awang Zainal, 40, dari Mukah, Sarawak muncul pemenang tempat pertama dan membawa balik hadiah kereta yang diidamnya, Toyota Fortuner.

Empat lagi pemenang turut diraikan dengan menerima hadiah wafer emas seberat 50 gram, 30 gram dan 20 gram serta barangan kelengkapan rumah bernilai RM10,000.

Kempen yang berlangsung dari 19 Februari hingga 30 April lalu bersempena Ramadan dan Syawal itu turut memberikan hadiah sagu hati kepada 65 pemenang, masing-masing menerima RM500 yang dikreditkan ke Akaun Pelaburan-i Rizq Plus.

Kempen berkonsepkan langgan dan menang itu membabitkan Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Pembiayaan Perumahan-i dan Pembiayaan Pajak Gadai-i.

Mohd Irwan berkata, Bank Rakyat mahu lebih ramai rakyat Malaysia membina daya tahan kewangan menerusi langkah mudah, konsisten dan patuh Syariah, selaras aspirasi #UntukSemua.

“Pada masa hadapan, Bank Rakyat kekal komited menawarkan penyelesaian kewangan yang relevan, mudah diakses dan benar-benar memberi nilai kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Komitmen ini mencerminkan makna #UntukSemua yang menjadi aspirasi Bank Rakyat,” katanya lagi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here