JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras bernilai lebih RM5.28 juta selepas menyerbu tiga rumah teres tidak berpenghuni di Kulim, Kedah dan sekitar Pulau Pinang, bulan lalu.
Pengarahnya, Hasbollah Din berkata, serbuan pertama kira-kira jam 3.30 petang pada 10 Julai lalu dilakukan di sebuah rumah di Bukit Mertajam sebelum menemukan 31,840 batang rokok dan 5,945.30 liter minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM339,449.55.
“ Siasatan awal mendapati semua rokok dan minuman keras itu disimpan buat sementara waktu dalam premis disewa itu untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
“Pemeriksaan juga mendapati minuman keras berkenaan mengandungi paras alkohol tinggi melepasi had dibenarkan dijual di negara ini,” katanya pada sidang media hari ini, lapor BH.
Hasbollah berkata, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Kulim pada petang keesokan harinya dan menemukan 205,880 batang rokok serta 12,464.20 liter minuman keras pelbagai jenama yang disyaki barang tidak berkastam, bernilai lebih RM1.28 juta.
Beliau berkata, hasil serbuan kedua turut membongkar sebuah lagi premis tidak berpenghuni di Sungai Jawi, di sini, yang membawa kepada rampasan 777,400 batang rokok dianggarkan bernilai RM843,827.60 pada 31 Julai lalu.
“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang memegang kunci rumah bagi kes ketiga. Bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan selepas rakaman keterangan diambil,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.





