Lelaki Singapura antara 4 ditahan kes merusuh bersenjata

POLIS menahan empat lelaki termasuk seorang warga Singapura berhubung kejadian merusuh membabitkan senjata serta menghalang dua anggota polis trafik berhampiran Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru yang berlaku kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 12.37 tengah malam selepas dimaklumkan orang awam mengenai pergaduhan di tepi jalan sebelum BSI, yang menempatkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat pertikaian di jalan raya yang melibatkan tiga lelaki warga Malaysia dan seorang warga asing menggunakan sebilah pisau ketika pertengkaran itu.

“Ketika dua anggota polis trafik cuba menenangkan salah seorang suspek, warga asing itu didakwa mencabar dan memprovokasi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Johor Bahru bersama polis trafik BSI menahan semua empat suspek berusia antara 25 hingga 46 tahun, antara jam 12.15 tengah malam hingga jam 1.45 pagi.

Polis turut merampas satu topi keledar motosikal dan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

Sebelum ini, media di negara jiran melaporkan kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu berdaftar di Singapura.

Azrul Hisham berkata, pemeriksaan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai 16 rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Bagaimanapun, ujian awal saringan air kencing mendapati semua mereka negatif dadah.

Keempat-empat suspek direman tiga hari bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata berbahaya, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas rasminya, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here