POLIS menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang terlibat dalam kegiatan curi buah kelapa sawit selepas menahan empat lelaki di Kanchong Darat, Banting di Kuala Langat pada Jumaat lalu.
Kesemua suspek iaitu lelaki tempatan berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an ditahan selepas polis menerima aduan daripada orang awam mengenai kegiatan jenayah itu pada jam 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, berdasarkan laporan diterima pihaknya, orang awam mendakwa dua kenderaan dilihat dalam keadaan mencurigakan di sebuah kebun kelapa sawit.
“Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati empat suspek sedang mencuri buah kelapa sawit dan memasukkannya ke dalam kenderaan terbabit.
“Polis kemudian berjaya menahan kesemua suspek beserta rampasan barang kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihaknya sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kanchong Darat dalam kenyataan di Facebook merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada orang awam yang membantu menahan suspek disyaki terlibat dalam kes kecurian buah kelapa sawit di sekitar kebun penduduk kampung.
“Kes kehilangan hasil sawit ini telah lama berlaku dan meresahkan pekebun-pekebun di Kanchong Darat. Kerjasama dan keprihatinan orang awam amat dihargai,” ujarnya.
Tambahnya, JPKK menyeru semua penduduk agar terus bersatu padu menjaga keselamatan harta benda dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak JPKK atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).


