Pasangan warga asing dalang kegiatan tidak bermoral ditahan

SEPASANG warga asing yang dipercayai menjadi dalang utama kegiatan tidak bermoral membabitkan pekerja seks warga asing ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua lokasi sekitar Jalan Kuchai Lama dan Jalan Gelugor, Kuala Lumpur, kelmarin.

Operasi yang bermula kira-kira jam 10.50 malam itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato’ Zakaria Shaaban berkata, pasangan berkenaan terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh dan wanita Thailand yang dipercayai mengawal pergerakan pekerja serta menyimpan pasport mereka.

“Pasukan operasi juga menahan tiga lelaki warga Myanmar, tiga perempuan warga Bangladesh, 14 perempuan warga Indonesia, dua perempuan warga Vietnam dan seorang perempuan warga Myanmar.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan berdasarkan maklumat awam serta risikan selama dua minggu membabitkan premis kediaman dan perniagaan.

Menurutnya, semakan awal mendapati kesemua warga asing yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Pasukan operasi telah menyita empat naskhah pasport Bangladesh, satu naskhah pasport Thailand, satu naskhah pasport Indonesia, telefon bimbit, kondom dan wang tunai berjumlah RM1,215 yang disyaki hasil daripada kegiatan ini,” katanya.

Zakaria berkata, hasil risikan mendapati premis kediaman dan perniagaan berkenaan digunakan sebagai lokasi menjalankan aktiviti tidak bermoral membabitkan wanita warga asing sebagai pekerja seks.

Katanya, premis kediaman itu dipromosikan kepada pelanggan terutama warga Bangladesh yang berada di Lembah Klang melalui platform media sosial.

“Dalang utama dipercayai mengawal pergerakan pekerja dengan menyimpan pasport dan aktiviti yang dijalankan di premis kediaman dilakukan secara tertutup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan di premis perniagaan pula dipercayai dikawal seorang lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai ‘kapten’.

“Kadar bayaran yang dikenakan di premis kediaman adalah RM200 bagi 60 minit, manakala kadar bayaran di premis perniagaan adalah antara RM260 hingga RM400 bagi 90 minit,” katanya.

Menurutnya, kegiatan itu dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu.

Zakaria berkata, pasangan warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing lain ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut, manakala tujuh lelaki warga tempatan diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

JIM menegaskan pihaknya akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here