Lelaki Singapura didakwa miliki pisau, halang tugas polis

SEORANG lelaki warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk memiliki senjata berbahaya, menghalang tugas polis dan mendatangkan kecederaan.

Tertuduh, Gary Lim Kian Liang, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar dan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau berukuran 8.5 sentimeter tanpa kebenaran sah di Jalan Lingkaran Dalam menghala ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI), kira-kira jam 12.15 tengah malam, Ahad lalu, lapor Sinar Harian.

Gary Lim didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dan mendatangkan kecederaan.

Bagi pertuduhan menghalang tugas penjawat awam, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang seorang anggota polis, Lans Koperal Mohd Rahimi Mohd Ali, ketika menjalankan tugas pada waktu, lokasi dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita tempatan berusia 30 tahun menggunakan pisau di lokasi sama, kira-kira jam 11.58 malam pada 15 Ogos lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu dan Izdhiyah Zahirah Ahmad Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam S. Selvanteran dan K. Shareveen.

Dalam rayuan ikat jamin, Selvanteran memaklumkan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan mental dan memerlukan rawatan berterusan.

Beliau turut memaklumkan anak guamnya merupakan pemilik sebuah restoran di Singapura, sudah berkahwin namun tidak mempunyai anak serta masih menanggung ibunya yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM20,000 dengan tiga penjamin rakyat tempatan dan menetapkan 25 September depan bagi sebutan semula kes.

Dalam perkembangan sama, seorang lelaki tempatan, G Thinesh Kumar, 28, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret A Shaarmini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Gary Lim menggunakan topi keledar.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan 14 September depan bagi sebutan semula kes berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan empat lelaki termasuk seorang warga Singapura ditahan berhubung kejadian menghalang polis trafik menjalankan tugas di tepi jalan sebelum masuk ke BSI, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, mereka yang berusia antara 25 hingga 46 tahun ditahan antara jam 12.15 tengah malam hingga 1.45 pagi pada hari sama selepas polis menerima maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, video yang memaparkan pergaduhan dan seorang lelaki menghalang tugas penjawat awam itu turut tular di media sosial.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here