PENGALAMAN seorang warga emas memasang Jalur Gemilang menjelang sambutan Bulan Kebangsaan secara terbalik sebelum ini membuatkan dia serik.
Bagi mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama, lelaki dari Taman Semabok Jaya itu menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem lebih lima kali bagi mendapatkan bantuan dan nasihat.
Bunyinya agak lucu namun ia merupakan satu tindakan tepat dilakukan oleh George Lim, 88, berasal daripada keluarga Peranakan Baba Nyonya kerana bimbang kedudukan Jalur Gemilang yang akan dipasang di kediamannya tersalah susun.
Mohd Noor Helmy berkata, George bertindak sedemikian kerana masih trauma dengan kejadian sebelum ini apabila bendera kebangsaan dipasang secara terbalik.
Beliau berkata, walaupun pengalaman itu memberi kesan kepadanya, namun semangat warga emas berkenaan untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang di rumah tidak pernah pudar.
“Dia telefon saya lebih lima kali untuk pastikan Jalur Gemilang yang dipasang nanti tidak lagi berlaku kesilapan seperti sebelum ini.
“Walaupun pernah mengalami trauma apabila bendera terpasang terbalik, semangatnya untuk memasang bendera di rumah tetap ada dan perkara itu patut dipuji,” katanya ketika ditemui baru-baru ini, lapor BH.
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, beliau sebelum ini memuat naik video kunjungannya ke kediaman warga emas berkenaan di Taman Semabok Jaya.
Katanya, kunjungan itu dibuat selepas George memaklumkan kebimbangannya selain mahu memastikan pemasangan Jalur Gemilang di kediamannya dibuat dengan betul.
“Semangat ditunjukkan George walaupun sudah berusia 88 tahun wajar dihargai kerana masih mahu menzahirkan kecintaan terhadap negara melalui pemasangan Jalur Gemilang.
“Latar belakang keluarga Peranakan Baba Nyonya tidak menghalang warga emas itu untuk terus menunjukkan semangat patriotik menjelang sambutan Bulan Kebangsaan.
“Tindakan George mendapatkan kepastian berulang kali juga menunjukkan betapa pentingnya Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan dan identiti negara,” katanya.
George sebelum ini pernah melalui pengalaman bendera kebangsaan dipasang terbalik, namun perkara itu tidak mematahkan hasratnya untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang di kediamannya.





