POLIS menahan tiga lagi lelaki di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung kegiatan lumba haram dan tindakan menutup jalan awam di Lebuhraya Linkedua, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, tangkapan susulan itu dibuat selepas polis mengenal pasti individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan video tular berhubung kegiatan berkenaan.
“Kita telah membuat tangkapan susulan terhadap tiga lelaki di Kuala Lumpur disyaki terbabit dalam kes video tular membabitkan kegiatan lumba haram yang berlaku pada 22 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kesemua tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Kulai bagi proses permohonan reman untuk membantu siasatan.
Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada 23 Ogos lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, lapan lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 45 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu ditahan pada jam 11.54 pagi, Ahad lalu.
Kelmarin, kesemua tangkapan termasuk seorang pempengaruh permotoran direman selama empat hari oleh Mahkamah Kulai bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Video tular berdurasi 33 saat itu memaparkan aksi dua penunggang motosikal dipercayai berlumba haram di lebuh raya berkenaan kira-kira jam 7 pagi.
Kejadian dipercayai berlaku dari Kilometer 33, Susur Tol Senai Utara hingga Kilometer 31, Susur Johor Premium Outlet (JPO).
Rakaman itu turut memaparkan beberapa individu dipercayai menutup jalan di lebuh raya berkenaan bagi memberi laluan kepada perlumbaan.
Suspek turut dilihat membakar mercun bagi meraikan tamatnya perlumbaan, manakala beberapa individu termasuk pempengaruh berkenaan berada di bahu jalan selepas perlumbaan itu berakhir.





