POLIS sedang mengenal pasti dua penunggang motosikal yang dipercayai melakukan aksi berbahaya ketika bersaing sesama sendiri di Lebuhraya Linkedua dari arah Susur Tol Senai Utara hingga Susur JPO, di Kulai, Johor semalam.
Kejadian itu turut menyaksikan penunggang motosikal lain dipercayai menahan pengguna jalan raya ketika aksi berkenaan berlaku.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung video kejadian yang tular di media sosial.
Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kulai kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dua penunggang motosikal terbabit serta individu lain yang berada di lokasi kejadian.
“Seorang individu yang dipercayai berada di lokasi kejadian turut dikenal pasti.
“Polis turut berhubung dengan PLUS Malaysia Berhad bagi mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan kejadian dan pihak yang terlibat.
Katanya, sebarang perkembangan lanjut berkaitan kes berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.





