Ayob Khan gesa semak gaji, elaun anggota polis

BEKAS Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menggesa kerajaan mengkaji semula gaji anggota berpangkat rendah, terutama konstabel yang menerima antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

Beliau berkata, selain gaji, elaun khas juga wajar diperkenalkan bagi anggota yang bertugas di bandar utama bagi membantu pasukan polis menarik serta mengekalkan anggota berkualiti.

“Sekarang orang ada banyak pilihan. Cuba lihat gaji mereka. Kalau kita tidak mampu menawarkan gaji yang setanding, bagaimana kita mahu menarik lebih ramai orang?” katanya, lapor FMT.

Ayob Khan turut mengkritik elaun perumahan RM300 sebulan untuk anggota polis yang disifatkannya tidak mencukupi bagi menampung kos hidup di bandar besar.

“Dengan RM300, rumah macam mana yang boleh disewa?” katanya.

Beliau berkata, jumlah bukan Melayu yang menyertai pasukan polis juga merosot dengan ketara berbanding tahun-tahun awal selepas negara mencapai kemerdekaan.

Menurutnya, gaji antara faktor yang menyebabkan pasukan polis sukar menarik lebih ramai bukan Melayu menyertai perkhidmatan itu, terutama apabila rakyat Malaysia kini mempunyai lebih banyak pilihan kerjaya.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut menggesa gred perkhidmatan awam bagi pegawai kanan polis dikaji semula kerana struktur sedia ada tidak menggambarkan dengan sewajarnya hierarki arahan dalam pasukan itu.

Beliau berkata, Timbalan Ketua Polis Negara ketika ini mempunyai gred perkhidmatan awam yang sama dengan Pengarah Cawangan Khas serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, walaupun kedua-duanya berada di bawah arahannya.

Katanya, keadaan itu boleh menyukarkan Timbalan Ketua Polis Negara untuk mengeluarkan arahan atau memberikan tugasan kepada pegawai yang secara teknikal mempunyai gred sama.

Ayob Khan mencadangkan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dinaik taraf kepada Turus III supaya lebih mencerminkan kuasa dan tanggungjawab jawatan berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here