BAHAGIAN Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan syor penambahbaikan tatakelola kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkaitan pengurusan dana tajaan badan berkenaan.
Syor itu bertujuan memastikan pengurusan dana tajaan serta insentif sukan kepada atlet paralimpik dilaksanakan secara lebih sistematik, telus dan berintegriti.
Menurut SPRM, penyiasatan tatakelola BPT memberi tumpuan kepada keperluan mewujudkan garis panduan khusus berkaitan pengurusan penajaan dan insentif sukan kepada atlet paralimpik di MPM.
“Syor tersebut turut merangkumi penambahbaikan PCM Marketing and Communication Committee ByLaws, PCM Constitution Article 21 – By-Laws Standing Committees, iaitu berkaitan peranan Jawatankuasa Komunikasi dan Pemasaran berhubung pengurusan penajaan di MPM,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung MPM, Dato’ Subramaniam Raman Nair menyambut baik syor berkenaan sebagai usaha bersama untuk memantapkan sistem serta memperkasakan tatakelola organisasi.
Menurutnya, penambahbaikan itu juga penting bagi menutup ruang salah guna kuasa, ketirisan dana dan amalan rasuah.
Persetujuan berkenaan dizahirkan menerusi penandatanganan Laporan Penambahbaikan Tatakelola oleh Subramaniam bersama Timbalan Pengarah BPT SPRM, Maznah Che Muda di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Presiden MPM, Dato’ Haji Mah Hassan Haji Omar; Naib Presiden MPM, Joshua Edgar Mariyee Joseph dan Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola A BPT SPRM, Yasmin Azura Yahya.





