Sawa batik 70 kilogram menyorok dalam reban ayam

SEEKOR ular sawa batik sepanjang kira-kira enam meter ditemui menyorok di sebuah reban ayam selepas penduduk terdengar bunyi riuh dari kawasan berkenaan di Kampung Teluk Sungai Durian, Baling, malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan reptilia itu pada jam 9.48 malam.

Katanya, sepasukan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling diketuai Mohd Radzi Said kemudian digerakkan ke lokasi.

“Ular sawa yang dianggarkan seberat 70 kilogram itu berjaya ditangkap.

“Operasi tamat pada jam 10.23 malam dan reptilia berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Baling,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Faizol berkata, APM Daerah Baling menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri atau cuba menangkap sendiri haiwan liar yang ditemukan.

Katanya, tindakan itu terutama perlu dielakkan sekiranya melibatkan reptilia bersaiz besar seperti ular kerana boleh membahayakan keselamatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi pihak berkuasa atau agensi berkaitan sekiranya menemukan haiwan liar di kawasan kediaman.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here