Guru didenda RM16,000 guna kekerasan terhadap tiga pelajar

SEORANG guru sekolah menengah di Pedas, Rembau, didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas empat pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap tiga pelajar perempuan dengan niat mencabul kehormatan mangsa.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Asyraf Ahmad, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan pilihan pada prosiding jatuh hukum.

“Setelah mendengar pengakuan salah kamu, mahkamah menerima pengakuan salah kamu dan kamu didapati bersalah dan disabitkan atas kesalahan.

“Selepas meneliti fakta kes, eksibit yang dikemukakan, kamu tiada rekod kesalahan lalu, rayuan kamu, faktor pemberatan dan peringanan serta fakta kepentingan awam, mahkamah hari ini menjatuhkan hukuman terhadap kamu,” katanya, lapor Harian Metro.

Tertuduh dijatuhi denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan hukuman tambahan penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap tiga pelajar perempuan berusia 14, 15 dan 16 tahun ketika kejadian, dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik spa sekolah dan sebuah kelas di sekolah berkenaan pada April dan Mei 2025.

Satu lagi kejadian didakwa berlaku di dalam sebuah kereta di Kilometer 242.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Rembau, antara jam 9 hingga 9.20 pagi, 17 Mei 2025.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni, manakala tertuduh diwakili peguam P Bhaerabii.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here