Pas tutup ruang damai dengan Bersatu – Hadi

SELEPAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, Pas hari ini menegaskan ruang damai dengan parti pimpinan Tan Sri MuhyiddinYassin sudah tertutup.

Sehubungan itu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Bersatu tidak akan dijemput ke Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kota Bharu pada 4 September hingga 5 September ini.

“Bersatu memang dia dah terkeluar dah daripada Perikatan Nasional,” katanya kepada media selepas Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, Marang hari ini

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan,  ruang damai dengan Bersatu dilihat kepada pendirian serta tindakan parti berkenaan yang pernah bertanding menentang Pas.

“Tengok pada dasarnya dia dah lawan kita masa pilihan raya, pilihan raya Negeri Sembilan kan dia bertanding lawan kita. Dia dah lawan dah. Dan dia pula ada kenyataan (Bersatu) dah nak ikut PH, bersama dengan PH,” katanya.

Untuk rekod ketika PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, Bersatu yang bertanding atas logo sendiri kalah di kesemua 24 kerusi ditandingi dan 23 kerusi daripadanya hilang deposit termasuk di DUN Sikamat yang ditandingi Ketua Penerangannya, Tun Faisal Ismail Aziz.

 Sebelum itu Bersatu tewas ke semua 56 kerusi DUN Johor dalam PRN negeri itu pada 11 Julai.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Abdul Hadi berkata, rundingan pembahagian kerusi antara parti berkaitan masih berlangsung walaupun perbincangan sudah diadakan.

“Masih dalam perbincangan. Perbincangan sudah dibuat,” katanya.

Presiden Pas itu berkata, keputusan muktamad mengenai calon Pas hanya akan diumumkan selepas DUN Melaka dibubarkan.

“Muktamad insya-Allah bila-bila diumumkan, Dewan Melaka dibubarkan, sampai nama kita nak umum calon kita muktamadlah insya-Allah,” katanya.

Mengenai Muktamar Pas, Abdul Hadi berkata, tumpuan akan diberikan kepada pengukuhan jentera pilihan raya serta memastikan perpaduan dalam parti terus dipertahankan.

“Fokusnya ialah untuk jentera pilihan raya. Perpaduan parti. Alhamdulillah perpaduan kita baik. Tak ada krisis dalaman,” katanya.

Mengulas kerjasama dengan parti lain, beliau memaklumkan perkara itu akan disentuh menerusi tema Perpaduan Ummah yang dibawa dalam muktamar.

“Insya-Allah kita akan sentuh, iaitu  tema kita nak mengajak Perpaduan Ummah, perpaduan orang Melayu Islam dan orang bukan-Islam yang tidak ekstrem,” kata beliau.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here