Isteri pegawai PASKUB berlepas ke Kathmandu hari ini, demi mencari suami

TIDAK sanggup hanya menunggu di rumah, isteri kepada Pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) yang dilaporkan hilang di Nepal, berlepas ke Kathmandu hari ini atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan terkini operasi pencarian suaminya.

Hani Othman berkata, beliau membuat keputusan untuk terbang ke Nepal seorang diri kerana mahu mengetahui sendiri perkembangan usaha mencari suaminya yang hilang ketika menyertai misi pendakian di negara berkenaan.

“Ini inisiatif saya sendiri untuk dapatkan perkembangan terkini sebab saya tak boleh duduk di rumah saja dan menangis. Saya perlu lakukan sesuatu.

“Setakat ini saya pergi seorang diri tetapi di sana nanti ada rakan-rakan serta kenalan suami yang sedia membantu. Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu juga telah dimaklumkan mengenai kehadiran saya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Suami Hani, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 40-an atau lebih mesra dipanggil Loe, dilaporkan hilang ketika menyertai misi pendakian di Nepal.

Turut dilaporkan hilang ialah Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Mohd Sani Harul, yang menyertai misi pendakian sama.

Mengulas mengenai sokongan moral, Hani berkata keluarga serta rakan terdekat mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan suaminya serta mangsa lain.

Sebelum dilaporkan hilang, Mohd Fakhrul Munir menerusi hantaran di laman sosial pada 2 Ogos lalu berkongsi pandangan peribadi mengenai risiko pendakian gunung ekstrem serta impak tragedi di Broad Peak yang dikaitkan dengan insiden taufan di Gunung Everest pada 1996.

Sementara itu, M Vasanthi, 51, adik kepada M Venilla, 52, seorang lagi rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi, berharap kakaknya ditemukan dalam keadaan selamat.

Venilla dilaporkan sedang dalam perjalanan ke Gunung Kailash di Tibet, China ketika kejadian.

“Ketika ini saya sudah kehilangan kata-kata, saya cuma mahu kakak pulang dengan selamat ke pangkuan kami semua, saya dan anak-anak beliau sentiasa mendoakan keselamatannya,” katanya, lapor Bernama.

Vasanthi berkata, ketiga-tiga anak kakaknya yang masing-masing berusia 26, 21 dan 18 tahun kini amat beremosi dan terkesan dengan situasi berkenaan sehingga sukar tidur pada waktu malam.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk tinggal bersama mereka di kediaman kakak di Puchong. Walaupun saya sendiri bagaikan hilang semangat, dalam saat genting seperti ini saya perlu mengumpul kekuatan untuk bersama mereka bagi memberikan sokongan,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir beliau berhubung dengan kakaknya ialah menerusi panggilan video pada Rabu lalu, kira-kira jam 11.30 pagi waktu Malaysia.

Ketika itu, Venilla berada di dalam bas selepas tiba di Nepal bersama rombongan kira-kira 35 orang.

“Kakak ke sana bagi melaksanakan upacara keagamaan dan ketika kami berbual itu, biarpun dalam keadaan sangat penat, beliau nampak gembira malah berkongsi pemandangan sekitar yang cukup indah dari dalam bas,” katanya.

Kementerian Luar memaklumkan 57 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir besar yang melanda Nepal pada Rabu lalu.

Angka terkini itu berdasarkan laporan yang diterima daripada ahli keluarga, rakan dan majikan setakat jam 11 malam, 27 Ogos.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here