PENGURUSAN Aset Air Berhad (PAAB) membiayai sepenuhnya Projek Penggantian Paip di Maran bernilai RM11.19 juta bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih hampir dua dekad yang dihadapi penduduk, khususnya di Mukim Chenor.
PAAB dalam satu kenyataan memaklumkan projek tersebut berjaya disiapkan tiga bulan lebih awal, melibatkan penggantian paip lama dan uzur sepanjang 29.6 kilometer (km) di beberapa kawasan, antaranya Kampung Serengkam, Ulu Luit, Pejing, Ulu Jempul, Chenor.
“Pelaksanaan Projek Penggantian Paip itu sebahagian daripada usaha strategik bagi memastikan akses kepada bekalan air bersih berkualiti dapat dinikmati oleh penduduk secara berterusan.
“Projek ini menyelesaikan isu paip pecah yang dilaporkan sering berlaku di samping mengatasi masalah air tidak terhasil (NRW) serta menstabilkan tekanan bekalan air di daerah berkenaan ketika permintaan meningkat terutama pada musim kemarau dan musim perayaan,” menurut kenyataan itu.
Secara keseluruhan, projek itu memberi manfaat secara langsung kepada hampir 10,000 penduduk di Maran, sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan sosioekonomi di daerah itu.
Majlis penyerahan projek itu di Loji Rawatan Air Chenor, Maran hari ini disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Zulkiflee Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi tempoh tiga tahun akan datang PAAB komited untuk merangka pelan pembangunan dan pelaksanaan infrastruktur air yang lebih strategik dan mampan dengan kerjasama PAIP di beberapa daerah di Pahang.
Antaranya, projek menaik taraf sistem elektrik di Rumah Pam Air Bersih Loji Jengka Utama yang berupaya mengatasi gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Gugusan Felda Jengka.
PAAB juga sedang melaksanakan projek penggantian paip lama dan uzur di Jerantut dan Lipis yang menghubungkan kawasan sekitar Pulau Tawar dan Kuala Tahan sepanjang 76.2 km dengan kos bernilai RM35.7 juta.
Selain itu, projek penggantian paip turut dilaksanakan di Felda Keratong sepanjang 11 km bernilai RM13 juta yang berupaya meningkatkan kecekapan sistem bekalan air di Rompin.
“Sehingga Julai 2026, PAAB memperuntukkan RM1.17 bilion untuk pembangunan infrastruktur bekalan air di Pahang, dengan RM69.79 juta melibatkan projek yang siap sepenuhnya, RM66.94 juta bagi projek dalam pembinaan, manakala RM981.04 juta untuk projek dalam perancangan dan reka bentuk.
“PAAB akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang, PAIP serta semua pihak berkepentingan dalam memastikan agenda memperkukuh infrastruktur air negeri dapat direalisasikan sekali gus selaras dengan aspirasi kerajaan Persekutuan untuk mentransformasi sektor air negara ke arah sistem yang lebih berdaya tahan, cekap dan mampan,” menurut kenyataan itu.
PAAB ditubuhkan pada 2006 melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi membantu kerajaan Persekutuan merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara dan ia merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dan agensi yang dikawal selia di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Untuk rekod, PAIP menandatangani Perjanjian Perstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang pada 2020.





