Pelajar KV Kangar maut motosikal bertembung bas

SEORANG pelajar Kolej Vokasional (KV) Kangar maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah bas di Jalan Alor Redis-Jejawi, Arau, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, remaja lelaki berusia 16 tahun yang berasal dari Kodiang, Kedah, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika bas dipandu lelaki berusia 31 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Alor Setar, Kedah menuju ke Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra di Kangar.

“Bas berkenaan sedang bergerak lurus di lorong kiri dari arah Jejawi menghala ke Alor Redis, manakala motosikal Honda C100 yang ditunggang mangsa dari arah Tambun Tulang dipercayai memotong dan masuk ke laluan bertentangan.

“Pemandu bas cuba menekan brek dan mengelak, namun akibat jarak yang terlalu dekat, kenderaan itu melanggar bahagian hadapan motosikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mohsin berkata, akibat pertembungan itu, penunggang motosikal berkenaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HTF.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTF dan proses bedah siasat dijalankan kira-kira jam 3.30 petang.

“Pemandu bas dan kelindannya yang berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut turut mendapati remaja terbabit menunggang motosikal milik ibunya dan tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here