
Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani
FAJAR MERDEKA
“Fajar V’’
Tanggal 31 Ogos 1957,
peribumi gagah perkasa,
menggoncang dada, mencakar mimpi,
ini bukan lagi ilusi, kau perlu bebas diri,
merdeka abadi,
Merdeka!
Kibarkan tanah airmu,
kibarkan dirimu,
kibarkan akalmu,
kibarkan bahasamu,
kibarkan budayamu,
bukan merdeka jika yang berkibar hanya kain benderamu.”
Petikan sajak “Fajar V” yang saya tulis pada Ogos 2004 terasa seolah-olah baru semalam ditulis.
Hampir dua dekad kemudian, persoalan yang sama masih relevan: apakah makna kemerdekaan apabila dilihat bukan sahaja dari sudut politik dan wilayah, tetapi juga dari sudut bahasa, budaya, pemikiran dan jati diri?
Begitu juga tulisan saya dalam majalah terbitan Dewan Bahasa pada 2003, “Selepas 46 Tahun Merdeka”, yang menyentuh persoalan kedudukan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Hari ini, selepas 69 tahun merdeka, persoalan itu masih wajar kita tanyakan. Apakah kita benar-benar sudah merdeka dalam erti yang lebih luas?
Atau kita hanya merdeka dari segi politik dan wilayah, sedangkan sebahagian daripada pemikiran, bahasa, budaya dan jati diri kita masih terlalu mudah dipengaruhi oleh acuan luar?
Merdeka bukan sekadar bendera yang berkibar. Merdeka juga bermaksud akal yang bebas, bahasa yang dihormati, budaya yang dihargai, sejarah yang difahami dan jati diri yang kukuh.
BERKATA BENAR, BUKAN SEKADAR MEMUJI
Penulis sebenarnya boleh memilih jalan mudah — menggunakan bahasa yang indah, memuji segala yang ada dan mengelakkan perkara yang mungkin mengundang rasa tidak selesa.
Namun, apakah ertinya sesuatu tulisan jika penulis sendiri tidak berani menyatakan apa yang diyakininya benar?
Kritikan tidak semestinya tanda membenci negara. Menegur kelemahan juga tidak bermaksud menolak segala kejayaan.
Sebaliknya, negara yang matang ialah negara yang mampu menerima teguran dan berani memperbaiki kekurangan.
Dalam soal bahasa kebangsaan, kita sudah mempunyai dasar dan peruntukan undang-undang yang meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan yang jelas.
Persoalannya bukan lagi semata-mata apa yang tertulis dalam undang-undang, tetapi sejauh mana kedudukan itu benar-benar diterjemahkan dalam kehidupan rasmi dan masyarakat.
Selepas puluhan tahun merdeka, kita sepatutnya lebih yakin menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, pentadbiran, pendidikan dan kehidupan awam.
Bahasa kebangsaan tidak sepatutnya hanya menjadi bahasa pada papan tanda, buku teks atau majlis rasmi, sedangkan dalam kehidupan seharian kita sendiri kadangkala berasa lebih yakin apabila menggunakan bahasa asing.
BAHASA KEBANGSAAN: SUDAHKAH KITA BENAR-BENAR YAKIN?
Antara cabaran terbesar bahasa Melayu bukan semata-mata datang daripada bahasa asing. Cabaran yang lebih besar ialah sikap kita sendiri terhadap bahasa kita.
Bahasa asing boleh dipelajari. Malah, kita memang perlu menguasai bahasa antarabangsa untuk menghadapi dunia yang semakin terbuka. Tetapi menguasai bahasa asing tidak seharusnya menyebabkan kita merendahkan bahasa sendiri.
Kita tidak perlu memilih antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Kita boleh menguasai banyak bahasa, tetapi pada masa yang sama tetap meletakkan bahasa kebangsaan pada tempat yang sewajarnya. Itulah keyakinan bahasa.
Persoalannya, mengapa selepas 69 tahun merdeka masih ada keadaan yang membuatkan kita seolah-olah kurang yakin menggunakan bahasa sendiri?
Perdebatan mengenai dasar pendidikan seperti PPSMI dan DLP memperlihatkan betapa kompleksnya usaha mencari keseimbangan antara penguasaan bahasa antarabangsa dengan pemerkasaan bahasa kebangsaan.
Perdebatan ini tidak seharusnya menjadi pertarungan antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Yang lebih penting ialah memastikan penguasaan bahasa antarabangsa berkembang tanpa menghakis kedudukan dan maruah bahasa kebangsaan. Kita tidak akan menjadi lebih maju dengan meninggalkan bahasa sendiri.
Begitu juga kita tidak akan menjadi lebih maju jika menutup pintu kepada bahasa dunia. Yang kita perlukan ialah kedua-duanya — keyakinan terhadap bahasa sendiri dan keupayaan menguasai bahasa dunia.
JANGAN SAMPAI BUDAYA SENDIRI MENJADI ASING
Kemerdekaan juga berkait rapat dengan budaya. Tidak ada salahnya kita menikmati makanan, muzik, filem atau fesyen dari Korea, Jepun, Indonesia, Barat atau mana-mana negara lain.
Dunia hari ini memang terbuka dan pertukaran budaya merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun, persoalannya ialah: Adakah kita mengenali budaya sendiri dengan kadar yang sama?’
Generasi muda mungkin sangat mengenali K-pop, drama Korea, makanan Jepun atau budaya popular dari luar negara. Tetapi berapa ramai yang benar-benar mengenali sejarah, kesenian, permainan tradisional, makanan warisan dan khazanah bahasa sendiri? Masihkah mereka mengenali kuih seperti lompat tikam, puteri mandi, badak berendam, onde-onde, epok-epok atau jala emas?
Persoalannya bukan tentang menolak budaya luar. Persoalannya ialah jangan sampai kita mengenali dunia tetapi tidak mengenali diri sendiri. Bangsa yang kehilangan hubungan dengan sejarah dan budayanya akan mudah kehilangan arah.
Akar yang kukuh tidak menghalang kita berkembang. Sebaliknya, akar yang kukuh membolehkan kita berdiri lebih teguh ketika berhadapan dengan dunia.
SEJARAH JANGAN DIPISAHKAN DARIPADA JATI DIRI
Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diperkenalkan pada 1971 merupakan antara usaha penting dalam pembentukan identiti kebudayaan negara. Selepas lebih lima dekad, kita wajar bertanya semula, Sejauh mana dasar tersebut benar-benar difahami, dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan masyarakat?
Sejarah pula tidak seharusnya dipilih mengikut keselesaan politik atau sentimen semasa. Malaysia mempunyai sejarah yang panjang sebelum terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan Malaysia pada 1963.
Sejarah rantau ini, termasuk sejarah tamadun Melayu, perkembangan bahasa Melayu serta perjalanan masyarakat pelbagai kaum, merupakan sebahagian daripada sejarah panjang yang membentuk negara kita hari ini.
Mempelajari sejarah bukan bermaksud menafikan kewujudan atau sumbangan mana-mana kelompok. Sebaliknya, menerima sejarah dengan jujur membolehkan kita memahami bagaimana negara ini terbentuk dan bagaimana masyarakat yang pelbagai dapat hidup bersama.
Kita tidak perlu takut kepada sejarah. Kita perlu memahaminya. Kerana bangsa yang memahami sejarahnya akan lebih yakin menentukan masa depannya.
PERLEMBAGAAN: ASAS KEHIDUPAN BERNEGARA
Kemerdekaan juga menuntut kita menghormati Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan bukan sekadar dokumen undang-undang. Ia merupakan asas yang mengatur kehidupan bernegara, termasuk kedudukan bahasa Melayu, Raja-raja Melayu, agama Persekutuan, kewarganegaraan serta pelbagai hak dan tanggungjawab dalam kerangka negara kita.
Oleh itu, perbincangan mengenai hak, bahasa, pendidikan dan kedudukan mana-mana kelompok perlu sentiasa dilakukan dalam kerangka Perlembagaan dan undang-undang. Kita boleh berbeza pandangan. Kita boleh berdebat. Kita boleh mempertahankan pendirian.
Tetapi semuanya perlu dilakukan dengan menghormati asas perundangan dan kerangka kenegaraan yang telah membentuk negara ini.
Dalam konteks ini, kedudukan bahasa Melayu juga perlu terus diperkukuh dalam urusan rasmi, pentadbiran dan kehidupan awam, selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.
RUKUN NEGARA: JANGAN SEKADAR DIHAFAL
Jika ada satu lagi persoalan yang perlu kita fikirkan pada ulang tahun kemerdekaan ke-69 ini, persoalan itu ialah: Adakah Rukun Negara benar-benar dihayati atau sekadar dihafal?
Rukun Negara diperkenalkan pada 1970 selepas negara melalui pengalaman pahit 13 Mei 1969. Lima prinsipnya — Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan — bukan sekadar rangkaian kata untuk dibaca dalam perhimpunan. Ia sepatutnya menjadi panduan kehidupan bernegara.
Jika kita benar-benar menghayatinya, kita sepatutnya lebih menghormati Perlembagaan, mematuhi undang-undang, menghormati institusi Raja, menjaga adab ketika berbeza pendapat dan menggunakan kebebasan dengan penuh tanggungjawab.
Kita tidak seharusnya menggunakan kebebasan sebagai alasan untuk menghina, menghasut atau memperlekehkan perkara yang menjadi asas kehidupan bernegara. Rukun Negara tidak seharusnya berhenti di dinding sekolah, buku latihan atau teks perhimpunan.
Ia perlu hidup dalam keluarga, sekolah, universiti, kementerian, jabatan kerajaan, sektor swasta, media dan media sosial. Kita perlu bergerak daripada sekadar menghafal Rukun Negara kepada mengamalkannya.
HIDUPKAN RUKUN NEGARA, BUKAN SEKADAR MENGHAFALNYA
Sudah tiba masanya peranan Rukun Negara diberikan nafas baharu dan diterapkan secara lebih sistematik dalam kehidupan masyarakat. Bagaimana prinsip-prinsipnya boleh diperkukuh dalam sistem pendidikan? Bagaimana ia boleh menjadi sebahagian daripada budaya perkhidmatan awam? Bagaimana ia boleh membentuk adab dalam kehidupan masyarakat dan komunikasi di media sosial?
Persoalan ini perlu dibincangkan secara serius. Rukun Negara tidak seharusnya hanya menjadi simbol upacara, tetapi nilai yang membentuk cara kita berfikir, bertindak dan berinteraksi sebagai rakyat Malaysia.
Jika Rukun Negara benar-benar dihayati, kita tidak perlu melihat perbezaan sebagai alasan untuk bermusuhan. Kita boleh berbeza pandangan tanpa menghina. Kita boleh mempertahankan hak tanpa menafikan hak orang lain. Kita boleh mencintai identiti sendiri tanpa membenci identiti orang lain. Itulah kematangan sebuah bangsa merdeka.
MERDEKA YANG SEBENAR
Selepas 69 tahun, mungkin sudah tiba masanya kita bertanya soalan yang lebih besar daripada sekadar berapa lama negara kita telah merdeka.
Sudahkah kita benar-benar merdeka dalam jiwa dan minda? Sudahkah kita yakin dengan bahasa sendiri? Sudahkah kita mengenali dan menghargai budaya sendiri? Sudahkah kita memahami sejarah negara dengan jujur? Sudahkah kita benar-benar menghayati Perlembagaan dan Rukun Negara?
Dan yang paling penting, sudahkah kita mampu menerima perbezaan tanpa kehilangan jati diri? Merdeka bukan bermaksud menolak dunia luar. Merdeka bermaksud kita mampu berdiri dalam dunia yang terbuka tanpa kehilangan diri sendiri.
Kita boleh menguasai bahasa dunia tanpa meminggirkan bahasa kebangsaan. Kita boleh menikmati budaya asing tanpa melupakan budaya sendiri. Kita boleh menjadi bangsa moden tanpa memutuskan akar sejarah. Kita boleh berbeza pendapat tanpa kehilangan adab. Dan kita boleh mempertahankan identiti sendiri tanpa menafikan hak orang lain.
Pada 31 Ogos ini, marilah kita kibarkan bukan sahaja Jalur Gemilang, tetapi juga akal, bahasa, budaya dan nilai kenegaraan kita. Kerana akhirnya, ukuran kemerdekaan bukan sekadar apa yang berkibar di tiang. Ukuran kemerdekaan ialah apa yang tetap teguh dalam jiwa, fikiran dan tindakan kita.
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
- Penulis adalah Pengerusi Biro Bahasa, Pendidikan dan Budaya, Majlis Perundingan Melayu (MPM)





