KERAJAAN sedang meneliti pelbagai cadangan dan inisiatif yang boleh membantu merancakkan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam Belanjawan 2027.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata cadangan berkenaan diterima daripada pelbagai agensi dan kementerian serta melalui sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“PMKS adalah salah satu tulang belakang ekonomi negara. Dari segi penekanan kerajaan, kita akan memberi perhatian yang lebih kepada PMKS dalam Belanjawan 2027.
“Kita telah menerima banyak cadangan dan yang penting sekarang kita perlu menilai semua cadangan tersebut berdasarkan apa yang boleh kita laksanakan dalam kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 Bank Simpanan Nasional (BSN), di Kuala Lumpur hari ini.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Okt depan.
Amir Hamzah berkata Belanjawan 2027 juga akan memberi fokus kepada 10 perkara teras antaranya menangani isu kos sara hidup, menyediakan pekerjaan yang bermakna, serta merancakkan ekonomi Malaysia agar dapat mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga ingin memastikan semua lapisan masyarakat terutama PMKS menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara.
“Pada suku kedua 2026, kita dapat lihat pertumbuhan Keluaran Dalam Kasar Negeri (KDNK) rancak sekali pada 6.0 peratus. Oleh itu, kita ingin memastikan limpahan yang datang daripada perkembangan KDNK negara turut sampai ke semua pelosok negara termasuk PMKS,” katanya.





