LEBUHRAYA Shah Alam (Kesas) berhampiran susur Hicom hari ini dilaporkan mengalami kesesakan selepas berlaku tumpahan cecair di Kilometer 30.5 arah timur, menyebabkan permukaan jalan licin dan berbuih seperti dilanda salji.
Keadaan permukaan jalan yang dilitupi cecair berwarna putih itu turut kelihatan seakan-akan salji, sekali gus menarik perhatian pengguna lebuh raya.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi makluman pada jam 4.27 petang mengesahkan kejadian berlaku di susur Ramp A Kota Kemuning.
Menurut LLM, tumpahan berkenaan menyebabkan lorong kiri terhalang dan aliran trafik bergerak perlahan.
“Sila perlahankan kenderaan dan patuhi arahan petugas di lokasi,” menurut kenyataan LLM.
Gambar yang dikongsikan LLM menunjukkan sebahagian permukaan jalan di lokasi berkenaan dilitupi cecair berwarna putih.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan serta memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan terbabit bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Setakat ini, jenis cecair yang tertumpah serta punca kejadian masih belum dinyatakan oleh pihak berkuasa.
Pemandangan luar biasa apabila sebahagian Lebuhraya Kesas itu mencuri perhatian pengguna jalan raya sehingga ada yang menyangka kawasan berkenaan seperti ‘dilanda salji’.
Beberapa rakaman yang tular dalam media sosial menunjukkan permukaan lebuh raya diselaputi cecair berwarna putih, selain kelihatan kesan tayar kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.
Rakaman kejadian itu meraih perhatian ramai selepas ia dikongsi di media sosial oleh seorang pengguna Threads dikenali sebagai Rtnasrie_01, sekali gus mencetuskan kebimbangan pengguna jalan raya.
“Nak balik nanti tolong hati-hati yang mana guna Kesas arah balik ke Puchong atau Shah Alam. Jalan licin bersabun ni. Semoga semua selamat sampai ke destinasi,” tulis individu itu.





