Bapa disyaki amang seksual dua anak kandung ditahan

POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap dua anak kandungnya berusia 16 dan 17 tahun.

​Perbuatan terkutuk lelaki berusia 50 tahun itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

​Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, suspek ditahan di Pasir Akar, Besut kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi sejurus menerima laporan daripada mangsa.

​”Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek tempatan itu mendapati dia negatif dadah.

​”Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Besut untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan dia direman sehingga 12 September depan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

​Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

​”Jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dihukum sebat.

​”Pihak polis memandang serius setiap laporan mendedahkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana individu yang terlibat,” tegasnya.

​Dalam pada itu, Md Sani turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa.

​”Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keselamatan, privasi dan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara serta tidak menjejaskan proses siasatan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here